Followers

Wednesday 29 May 2013

DILARANG MASUK KE HATIKU BAB 10

OLEH : MYA AZLISHA


KIFAYAH terus bergegas ke katil lalu segera baring dan menarik selimut menutupi seluruh tubuhnya apabila riuh rendah kedengaran suara emaknya di luar. Tentu emaknya dan Eja sudah pulang dari berniaga.Pintu biliknya di tolak. Kifayah meneruskan rajuknya. Entah siapa lagi yang datang memujuknya. Rafeah duduk di sisi anaknya itu. Bahu Kifayah disentuh lembut.

“Kifa, anak mak ni merajuk lagi ke? Orang kalau disuruh kahwin, bukan main lagi melompat suka tapi Kifa merajuk pula? Kifa bertuah tau, sebab Abang Man berkenankan Kifa. Apa kurangnya abang Man tu, hensem apa orangnya? Badan dan muka dia kan comel macam teddy bear, geramnya rasa nak cubit-cubit je kan? Soal gigi tu tak payah fikirlah sayang, setakat rongak tu, nanti dia tampal dengan simen, okeylah tu. Yang penting Man Boroi tu banyak duit, banyak harta. Senang-lenang hidup Kifa nanti, mak pun boleh tumpang senang juga. Kifa tau tak, bukan main bersusunnya anak dara dalam kampung ni yang tergila-gilakan Abang Man tau? Tapi, Abang Man hanya sukakan Kifa seorang je.” Pujuk Rafeah.

Kifayah yang mendengar dari dalam selimut menahan muntah mendengar kata-kata emaknya yang sangat tidak relevan. 

“Ni, Abang Man kirim salam sayang pada Kifa. Dia rindu nak tengok Kifa tapi, nak buat macam mana kan, Kifa tak nak tolong mak berniaga hari ni? Abang Man ada belikan Kifa hadiah. Mak letak atas meja solek. Mesti mahal hadiah ni. Mak keluar dulu ya? Oh ya, mungkin esok lusa Abang Man nak datang merisik Kifa. Mak dah setuju, mak harap Kifa terima ya?” Kata Rafeah dengan lembut. 

Kifayah yang mendengar mula rasa bengang. Melampau sungguh emaknya ini. Tergamak menerima pinangan Man Boroi tanpa berbincang dulu dengannya. Kifayah terus membuka selimutnya.

“Mak? Siapa suruh mak terima lamaran Man Boroi tu? Kifa tak nak, Kifa tak kebulurlah! Kifa lebih rela mati, dari kahwin dengan lelaki tu! Baik mak bunuh je Kifa dari bagi Kifa pada lelaki gatal macam tu! Kifa tak sanggup hancurkan masa depan Kifa!” Kifayah bertegas akan pendiriannya. 

Rafeah mengelengkan kepalanya. Dia buat-buat pekak badak mendengar kata-kata anaknya itu. Rafeah hanya tersenyum. Anaknya itu ditatap sayang, rambut Kifayah dibelai mesra. 

“Hmm, mari mak tolong bukakan hadiah Abang Man.” Rafeah terus membuka kotak hadiah yang dibalut cantik itu. Kifayah tersentak. 

“Mak? Jangan buka!!!! Kifa nak bagi balik pada Man Boroi!” Kifayah menahan emaknya namun, emaknya sudah pun membukanya. 

Ternganga Rafeah apabila membuka kotak baldu berwarna merah itu. Seutas gelang emas yang sangat cantik dan ditempah khas. Terus menitis tiga titis air liur Rafeah.Kifayah melepas keluhan kasar. Kecewa dengan sikap emaknya ini.

 “Ya Allah, cantiknya Kifa! Bertuahnya Kifa sayang! Ini adalah calon suami yang terbaik untuk Kifa sayang! Mak betul-betul gembira kerana Abang Man pilih Kifa. Mak keluar dulu ya? Tidurlah, mimpikan Abang Man malam ni tau?” Rafeah tersenyum mesra sambil melangkah keluar dengan muka selamba. 

Kifayah yang melihat dan mendengar kata-kata emaknya, benar-benar tertekan dan sakit hati. Kifayah segera bangun, menuju ke bilik air. Ingin mengambil wuduk dan menunaikan sembahyang Istiqarah.Semoga ALLAH SWT memberikan jalan yang terbaik untuk dirinya. 

Hampir seminggu Kifayah bermimpikan seulas senyuman dari seorang lelaki. Wajahnya kabur namun hanya senyumannya saja yang tergambar. Senyuman yang benar-benar manis dan memikat hatinya. Senyuman siapakah itu? Yang pasti dia lega, kerana senyuman itu bukan milik Man Boroi kerana giginya rongak. 

Kifayah menangis teresak-esak. Rombongan merisik Man Boroi sudah pun berangkat pulang. Sejak dari tadi, Izzati berada di sisinya. Memujuknya agar bersabar dan bertenang.

“Sabarlah Kifa, mak kau dah terima pinangan Man Boroi. Ni cincinnya, mak kau suruh bagi kat kau. Ikutkan wakil Man Boroi tadi, pihak mereka nak majlis pertunangan dua minggu lagi.” Kata Izzati yang benar-benar simpati dengan Kifayah. 

Mujurlah Opah Jah memberitahu wakil Man Boroi yang merisik Kifayah, bahawa sebarang majlis pertunangan ataupun majlis perkahwinan hanya akan berlangsung selepas keputusan STPM Kifayah keluar nanti.
Di luar bilik kini, sedang berlangsung pertandingan perbahasan yang disertai Opah Jah yang berkumpulan dengan Eja menentang, Rafeah dan Soffian. 

“Kamu ni Peah, jangan nak memandai sangat. Bincang dengan Kifa dulu? Tanya persetujuan dia dulu. Suka hati kamu je, nak tentukan hidup dia! Kifa pun, ada hati dan perasaan. 

Cubalah sesekali kamu fikirkan perasaan anak kamu, Peah. Jangan pentingkan diri sendiri. Dia tu budak lagi. Dia yang nak kahwin, tapi kamu yang terlebih over mengalahkan dia pulak.” Opah Jah meluah kata.

“Mak, jangan nak tukar topik pula? Peah masih tak puas hati dengan mak fasal tadi. Pandai-pandai mak kata macam tu kat wakil Man. Buat apa nak tangguh lama-lama perkara baik ni. Peah kalau boleh, hari ni juga nak Kifa nikah dengan Man tu! Tak payah tunggu lama-lama.” Rafea terus berhujah. Soffian menyampuk.

“Betul cakap Peah tu mak. Dah ada orang berkenankan Kifa, Peah dan Pian memang bersetuju nak bermenantukan Man. Jadi tak payahlah nak tangguh lama-lama perkara baik ni.” 

Eja terus mencelah. Dia mahu membela nasib kakaknya.

“Ayah, mak, Kak Kifa kan tak nak, dia tak suka dengan Man boroi tu, buat apa nak paksa? Kasihan dia. Lagipun Man Boroi tu, tak sepadan langsung dengan Kak Kifa. Eeeee, Eja tak setuju lah! Eja tak suka Kak Kifa kahwin dengan Man Boroi!” Opah Jah terus meyambung.

“Mak pun rasa macam tu. Memang tak patut kamu kahwinkan Kifa dengan Man Boroi tu Cuba kali ni, kamu dengar cakap mak, nasihat mak ni. Boleh tak?

Patutnya tadi mak memang nak tolak saja pinangan tu, tapi kamu Peah, selamba je tutup mulut mak tadi dengan tangan kamu yang berbau petai tu!!!!” Bangkang Opah Jah.

Rafeah mengetap bibirnya. Sakitnya hati apabila kehendaknya ini dihalang. 

“Eja, jangan nak masuk campur dalam hal ni, kau tu hingus pun mak kena lap lagi. Kalau Man Boroi tu ada kembar, dengan kau-kau sekali mak kahwinkan tau? Okey, macam nilah mak. 

Peah ikut cadangan mak, tunggu sampai keputusan STPM Kifa keluar dulu. Tapi elok je keputusan peperiksaan keluar, majlis pernikahan Kifa dan Man Boroi akan di adakan serentak pada hari yang sama. Tapi, majlis pertunangan akan tetap di adakan dua minggu, dari sekarang! Faham semua! Titik! Noktah!” Rafeah memberikan kata penutup. Soffian yang mendengar turut bersetuju..

“Saya setuju!!!!!” Kata Soffian juga dengan tegas. Saling bertatapan dengan isterinya dan mengangguk kepala serentak. Bersalam dan berpegangan tangan kemudian masuk ke dalam bilik. 

Sudah berkira-kira mahu membahagikan wang RM5000 yang dihadiahkan oleh Man Boroi semalam kerana pinangannya telah pun diterima. Sekejap lagi, mereka akan ke Ipoh untuk menonton filem KL Gangster dan membeli-belah dengan wang itu. 

Opah Jah dan Eja sudah tidak mampu untuk membantah lagi. Tidak mampu membela Kifayah.Kifayah yang mendengar kata pemutus itu, terus menangis teresak-esak. Izzati melepas keluhan yang berat. Dia benar-benar bersimpati dengan Kifayah.

“Sabarlah Kifa, kalau aku boleh tolong kau, memang aku dah tolong.” Namun, apalah dayanya untuk membantu Kifayah.

“Kifa, aku balik dulu ya? Pukul 6.00 petang ni, aku akan balik Penang dengan kakak aku.” Izzati memohon diri untuk pulang. Kifayah yang begitu berat melepaskan sahabatnya pergi akhirnya akur.

“Terima kasih sebab datang. Nanti, kalau kau balik, kita jumpa lagi ya?” Kata Kifayah dengan penuh sebak.

“Sabarlah Kifa. Banyakkan berdoa pada Allah SWT. Insya-Allah, jalan keluar untuk kau mesti ada.” Kata Izzati lagi. Kifayah menganggukkan kepalanya. 

Setelah Izzati pulang, Opah Jah dan Eja masuk ke dalam bilik. Sayu dan sedih hati mereka melihat Kifayah yang sedang berlinangan air mata itu. Matanya sudah bengkak kerana banyak menangis. 

“Kifa, sabarlah sayang. Opah pun tengah ligat memikirkan jalan keluar untuk Kifa tau. Opah akan cuba pujuk mak dan ayah ya? Mujurlah opah berjaya tangguhkan perkahwinan Kifa dan Man Boroi tu. Tapi tak sangka pula, mak ayah Kifa nak tunangkan Kifa dulu.” 

Eja merengus perlahan. Kenapa mak dan ayah tergamak buat kak Kifa macam ni? Kasihan Kak Kifa.

“Mahunya ayah dan mak tak terima pinangan Man Boroi, lelaki tu dah rasuah mak dan ayah dengan duit. Semalam, Eja nampak Man Boroi bagi mak dan ayah lima ribu. Faham-faham sajalah, perangai mak dan ayah yang mata duitan tu.” Cerita Eja dengan kesal. Janganlah suatu hari nanti, dia juga menerima nasib yang sama seperti Kak Kifa. 

Kifayah benar-benar sedih mendengarnya. Rasa ingin meraung sekuat hati. 

“Kenapa mak dan ayah sanggup buat Kifa macam ni? Kifa tak nak kahwin, Kifa tak nak kahwin dengan Man Boroi tu.” Luah Kifayah dengan tangisan.

“Opah pun dah puas menasihatkan mereka, tapi mereka langsung tak hormatkan Opah. Kalau diikutkan hati Opah, Opah nak suruh je Kifa pergi jauh-jauh dari sini.

Jauh dari manusia yang lebih pentingkan duit dari kebahagiaan dan masa depan anak-anak.” Kata Opah Jah dengan geram dan kesal dengan sikap tamak anaknya.

“Betul tu kak? Eja pun kalau diikutkan hati, nak suruh je akak lari. Tapi, iyalah kan? Akak nak lari ke mana?” 

Kifayah tersentak mendengarnya. Klik!!!! Satu idea tiba-tiba muncul, menari di ruang matanya.

“Kifa tahu kat mana Kifa nak pergi,” Kifayah terus bangun, mengambil beg pakaian tanpa berlengah lagi. Air mata disapu kering. Dia sudah tekad. Dia mahu pergi dari sini untuk mengelakkan diri dari berkahwin dengan Man Boroi. Opah Jah dan Eja saling berpandangan. Tidak menyangka tindakan Kifayah itu.

“Kifa? Kifa nak ke mana? Memang Opah izinkan Kifa pergi tadi, tapi Kifa tak berhak nak risaukan Opah kan? Tempat yang Kifa nak pergi tu selamat ke?” Opah Jah terus bertanya dengan bimbang.

“Iyalah kak, kak nak ke mana?” Soal Eja dengan cemas. Kifayah terus memasukkan pakaian ke dalam beg.

“Kifa akan pergi dari rumah ni, tapi Opah dan Eja jangan risau. Kifa akan hubungi selalu. Tempat Kifa nak pergi tu, tempat yang selamat. Jangan risau ya? Kifa pergi untuk bekerja. Kifa cadang nak ke ikut Izzati ke Penang. Tapi janji buat masa ni, Opah dan Eja jangan cakap pada mak dan ayah.” Pinta Kifayah. 

Opah Jah dan Eja akur jika itu lebih baik dari Kifayah terus tinggal dalam rumah ini.

“Kalau Kifa rasa tempat yang Kifa pergi, lebih baik dari rumah ni, Kifa pergilah. Opah izinkan, tapi jaga diri baik-baik. Telefon opah tau? Fasal mak dan ayah, Kifa jangan risau. 

Tahulah Opah menjelaskan pada mereka nanti.” Opah Jah memberikan restu pada tindakan cucunya itu. 

Opah Jah keluar sekejap, kemudian masuk semula ke dalam bilik, lalu menghulurkan wang RM300 pada cucunya itu. 

“Kifa, ambillah duit ni buat belanja. Kalau Kifa ada masalah duit, Kifa beritahu Opah tau.” Pertolongan Opah Jah membuatkan Kifayah benar-benar terharu. Terus dia memeluk Opah Jah sambil menangis.

“Kifa minta maaf Opah, Kifa dah susahkan Opah. Opah jaga diri ya? Terima kasih sebab izinkan Kifa pergi.” Pinta Kifayah sebelum pergi.

“Kalau untuk kebaikan Kifa, nyawa pun sanggup Opah dagangkan. Jaga diri tau, jangan lupa telefon Opah.” Pesan Opah Jah. Kemudian Kifayah berpelukan pula dengan adiknya, Eja.

“Akak jaga diri tau, bila dah sampai nanti, akak call Eja, beritahu Eja yang akak selamat sampai ya?” Kifayah menganggukkan kepalanya. 



BERSAMBUNG ;D






Wednesday 15 May 2013

DILARANG MASUK KE HATIKU BAB 9





 OLEH :MYA AZLISHA
KIFAYAH menatap wajahnya di cermin. Matanya sudah sembab dan bengkak. Sejak tengah hari tadi sampai ke malam, Kifayah hanya menangis. Puas dipujuk Opah Jah, Eja dan emaknya. Dia akan terus menangis dan memerap dalam bilik selagi emaknya masih terfikir untuk kahwinkannya dengan Man Boroi.
Dia benar-benar tidak boleh menerima permintaan emaknya itu. Ada ke patut, dia disuruh berkahwin dengan Man Boroi? Tidak, dia lebih sanggup mati di pancung dari disuruh berkahwin dengan Man Boroi. 

Kifayah memerlukan seorang teman untuk berkongsi masalahnya. Lalu mencapai telefon rumah, segera menghubungi telefon bimbit Izatti. Setelah menjawab salam dan bertanya khabar, Kifayah meluahkan masalah besar yang memeningkan kepalanya.

“Izatti, aku betul-betul tension dengan mak aku, rasa nak lari je dari rumah. Tak sanggup aku,” luah Kifayah

“Hah? Nak lari? Kenapa pulak? Cuba kau ceritakan pada aku, apa masalah kau?” Tanya Izatti, risau.

“Mak aku, suruh aku kahwin.” 

“Apa? Kahwin? Biar betul mak kau ni? Result STPM tak keluar lagi dah suruh kau kahwin? Mana tau kalau-kalau dapat sambung belajar ke apa? Kau kan pandai sikit dari kakak-kakak kau?” Izatti kelihatannya benar-benar terkejut.

“Itulah, aku pun tak setuju. Aku memang tak mahu kahwin Zatti, aku masih muda lagipun, kalau boleh aku nak belajar lagi. Tapi tak kan kau tak tahu perangai mak aku. Degilnya dia, kalau dia kata hitam alamat hitamlah jawabnya. 

Mak aku pun bukan suka aku belajar lagi. Aku nak study untuk periksa pun, dia larang. Dia nak aku ikut jejak langkah kakak-kakak aku dari lepas SPM lagi. Supaya kahwin, mujurlah Opah Jah dapat pujuk dia, kalau tak jangan harap aku dapat belajar sampai tingkatan 6. 

Pasal suruh kahwin ni pun, Opah aku pun dah puas nasihatkan dia tadi, dia tetap bertegas nak aku kahwin juga. Pening kepala aku Zatti.”

“Mak kau ni, memang melampaulah. Langsung tak fikirkan masa depan anak-anak. Dengan siapa dia suruh kau kahwin Kifa?” 

“Man Boroi, kebetulan Man Boroi baru bercerai dengan isteri dia. Itu yang tiba-tiba mak suruh aku kahwin dengan Man Boroi tu! Aku tak hinginlah lelaki tu, eeee....geli aku!”

“Apa? Man Boroi? Mak kau ni memang dah hilang akal agaknya Kifa? Ya Allah, ni mesti sebab Man Boroi tu kaya-raya, sebab tu dia beria-ria nak jodohkan kau dengan Man Boroi. Man Boroi tu lelaki gatal tau tak, kaki perempuan, tak secocok langsung dengan kau!” 

“Habis tu apa aku nak buat Zatti? Aku betul-betul tertekan. Aku rasa macam nak terjun Sungai Perak, aku dah tak sanggup menanggung masalah ni,” Kifayah bersuara lirih.

“Kifa, sabar Kifa! Jangan buat tindakan bodoh macam ni. Okey, aku rasa cuba kau pujuk mak kau baik-baik. Bincang elok-elok. Macam nilah, hujung minggu ni aku dan kakak aku nak balik kampung. Nanti kita jumpa okey?” Beritahu Izatti.

“Ye ke kau nak balik? Rindunya kat kau. Hmm, nanti kita jumpa ya? Terima kasih sebab kau sudi dengar masalah aku. Aku dah tak ada tempat nak mengadu. Aku akan cuba pujuk mak aku, minta-mintalah dia boleh bertolak ansur dengan aku.” Luah Kifayah dengan sedih.

“Aku kan kawan kau. Kita kan BFF sampai bila-bila. Kau jangan risau okey, aku selalu ada untuk kau.” Maklum Izzati.

“Hmm, bye. Nanti kita jumpa ya?” 

“Okey, bye Kifa. Assalamualaikum.....”

Kakak Izzati, Farisa yang sedari tadi mencuri dengar perbualan adiknya itu terus bertanya.

“Kenapa Zatti? Apasal Kifa call? Dengarnya, cerita sensasi?” Farisa menyibuk, biarpun mata sedang menonton TV. 

“Kifa, menangis-nangis dalam telefon tadi. Ada ke patut mak dia suruh dia kahwin dengan Man Boroi? Man Boroi baru bercerai dengan bini dia.” Cerita Izzati.Farisa yang mendengar terkejut beruk, kemudian tergelak besar sebesar-besarnya

“Hah? Kahwin dengan Man Boroi? Biar betul? Hilang akal ke mak Kifa tu? Hahahahaha..” Farisa terus ketawa. Sudah terbayang hari persandingan Kifayah dan Man Boroi. Tentu roboh pelamin, kan Man boroi gemuk gedempol orangnya. 

“Kakak ni, tak baiklah ketawakan orang. Kasihan Kifa kak, tak patut betul nak dikahwinkan Man Boroi yang miang keladi tu!”Tegur Izzati. 

“Mak Kifa tu bukannya ambil kira paras rupa ke, perangai ke, janji bakal menantunya banyak duit. Kakak Kifa kan, kawan akak. Pun dipaksanya kahwin juga dengan duda anak dua sedangkan Hidayah tu dah ada pakwe. Tapi sebab pakwe dia tak ada duit terus di tolak. Tapi tak apalah, sekurangnya-kurangnya suami Hidayah tu hensem juga orangnya. 

Ini tidak, Man Boroi tu nak dibuat laki Kifa? Nak tengok pun rasa nak termuntah! Macam manalah hidup Kifa tu nanti bila kahwin dengan Man Boroi? Malam pertama pun agaknya, dah patah riuk tulang si Kifa tu nanti dibuatnya!” Farisa tergelak besar dan Izzati benar-benar tidak suka mendengar.Kakaknya memang begini perangainya. Bab mengutuk orang memang nombor satu.

“Eee, akak ni jahatlah fikir macam tu. Tak senonohlah! Teruklah akak ni, itu kan baru cadangan mak Kifa. Bukan betul-betul jadi lagi. Kifa pun tak kebulurkan Man Boroi tu!” 

“Alah, macamlah kau tak kenal makcik Peah tu macam mana? Hidayah pun, menangis-nangis tak nak kahwin. Akhirnya terpaksa kahwin juga. Hmmm, nasiblah kau Kifa, dapat suami macam Man Boroi. Alah, tak kisah buruk pun, janji tidur atas duit.... hahahahaha......” Farisa terus tergelak lucu. Izzati mengelengkan kepalanya.

Pintu diketuk berulang kali. 

“Siapa pula yang datang malam ni? Izatti pergi tengok jap?” Jerit Kak Eton, rakan serumah mereka dari dapur. Sedang menggoreng bihun goreng.Izatti membukakan pintu. Kelihatan Fadzli, geng bujang rumah sebelah berdiri terpacak depan pintu. Salam yang diberi lantas dijawab.

“Err, Fariha ada?” Siti Fariha merupakan rakan serumah merangkap kekasih Fadzli.

“Macam biasa, dah keluar dengan geng Lucy..” Cerita Izzati kerana memang itu tabiat Siti Fariha yang suka keluar malam.

Wajah Fadzli terus bertukar bengang.

“Apa? Dia keluar? Melampau betul lah Fariha ni. Langsung tak bagitau!” Marah Fadzli. 

Tiba-tiba muncul Kak Eton dari dapur membawakan Tupperware untuk Fadzli.

“Hah, Lie? Apasal riuh rendah ni? Cari Fariha ke? Cuba kamu nasihat awek kamu tu Lie. Susah sungguh nak tegur Fariha tu, degil nak mampus! Kak Eton pun dah berbuih mulut nasihatkan dia jangan bergaul sangat dengan geng Lucy tu, geng Lucy tu kaki disko, suka sangat usung lelaki balik rumah sewa mereka tu. Tapi dia degil.” Kak Eton pula membebel. Jiwa Fadzli bertambah kacau. Perangai Siti Fariha semakin berubah.

“Err, Lie dahlah cakap fasal awek kau tu. Ni akak ada masak bihun goreng lebih untuk geng bujang. ” Kak Eton menghulurkan tupperware pada Fadzli.

“Terima kasih.” Setelah memberi salam dan menjawab salam, Kak Eton menutup pintu.Fadzli melangkah lemah ke pangkin di hadapan rumah. Kelihatan Arrian Syah, Abang Lan, Faris dan Johan sedang menyanyi-nyanyi dengan petikan gitar. 

“Apasal? Fariha buat perangai lagi?” Tanya Arrian Syah yang cukup mengambil berat soal Fadzli.
Fadzli bercinta dengan Siti Fariha sejak dari zaman sekolah lagi. Sayangnya Siti Fariha tidak pernah menghargai kasih sayang Fadzli yang begitu tulus. Arrian Syah sudah naik jemu memberi nasihat pada Fadzli agar melupakan saja Siti Fariha kerana Siti Fariha bukanlah gadis yang baik. Siti Fariha memang gadis yang liar sejak zaman sekolah lagi. Namun, hampir saja mereka bergaduh kerana itu. Sejak itu, Arrian Syah malas masuk campur soal hubungan mereka. 

“Tak adalah. Dia keluar, tak bagitau. Aku risau je, Kak Eton kata dia keluar dengan geng Lucy. Abang Lan, ni kak Eton ada kirimkan bihun dan salam sayang pada Abang Lan.” Cerita Fadzli lalu menghulurkan tupperware pada Abang Lan yang sudah tersengih gatal.

Fadzli risau memikirkan buah hatinya yang kini sedang keluar dengan geng Lucy. Geng Lucy memang agak sosial dan membuat kerja sambilan sebagai escort girls.

Mungkin Siti Fariha juga telah terpengaruh dengan ajakan mereka kerana boleh tahan juga bayaran yang mereka dapat dengan bekerja sebagai escort girl.

Johan terus menyampuk.

“Sudah-sudahlah Lie, hang cari je perempuan lain. Aku tengok Fariha tu sukar nak dibimbing. Hang tu lelaki yang baik Lie, berlambak-lambak perempuan baik kat luar sana. Hang berhak dapat jodoh yang baik-baik. Fariha tu, tak pernah hargai cinta hang.” Johan memberikan nasihat.

“Hang cakap memanglah senang Johan, tapi ni soal hati. Aku terlalu cintakan dia. Hatiku dari dulu sampai sekarang, tak pernah berubah. Walaupun teruk mana pun Fariha dimata korang, dia tetap yang terbaik di mata aku.” Jawab Fadzli. Abang Lan menyampuk.

“Kalau Lie dah cakap macam tu, Abang Lan dah tak boleh nak cakap apa. Tapi, frust macam mana sekalipun, janganlah tarik muka dengan kami.” Tegur Abang Lan. Fadzli tersenyum hambar dan mengangguk.



BERSAMBUNG..... :D













Tuesday 7 May 2013

DILARANG MASUK KE HATIKU BAB 8



OLEH : MYA 


KIFAYAH seperti biasa menjalankan tugas hariannya, membantu emaknya di dapur. Rafeah mengerling anaknya berulang kali. Kerlingan yang sangat bermakna. Bertuah sungguh dapat anak secantik Kifayah. Kifayah yang sedang mengupas bawang itu direnung tanpa berkelip. 

“Kifa?” Panggil Rafeah dengan lembut. 

Kifayah mengangkat kepala dan memandang emaknya hairan. “Apa mak?”

“Err, mak tengokkan Kifa ni walaupun baru 19 tahun, tapi Kifa dah matang macam orang dewasa. Kifa dah pandai masak, rajin kemas rumah, pendek kata semua sifat-sifat perempuan melayu terakhir ada dalam diri anak mak ni. Mak rasa Kifa ni, dah sesuai lah nak kahwin. 

Kifa terfikir tak, nak kahwin?” Lembut sungguh suara emaknya ini. Mana hilangnya loudspeaker?

Kifayah tersentak. Kahwin? 

“Ishh, mana sesuai mak? Kifa baru 19 tahun, masih muda lagi. Kifa kalau boleh nak belajar tinggi-tinggi. Nak dapat kerja yang bagus-bagus dulu, baru nak fikirkan soal tu semua.” Jawab Kifayah yang hatinya sudah rasa tidak enak. 

Rafeah tersenyum manis. Jawapan yang dia sudah dapat mengagaknya. Tapi dia tidak kisah kerana Kifayah mesti mengikut juga kehendaknya biar apa pun yang akan terjadi.

Kifayah memandang adiknya dan Opah Jah. Tanda soal kelihatan pada wajahnya. Masing-masing mengangkat bahu, pelik melihat perubahan Rafeah. 

“Apa pula? Mak dulu, opah kahwinkan mak masa umur 17 tahun. Mak? Mak dulu kahwin umur berapa?” Tanya Rafeah pada emaknya yang berusia 70 tahun itu. Opah Jah yang sedang menghiris cili api, tersentak.

“Mak dulu, rasanya kahwin umur 15 tahun. Tapi zaman dulu mana sama dengan zaman sekarang, Peah. Yang kau tu, mak memang tak nak kasi kahwin lagi, tapi kau lari dengan Pian.” Maklum Opah Jah.

Rafeah mengigit bibirnya. Geram sungguh apabila Opah Jah mengungkit perbuatannya dulu. Tapi menyesal pun sudah hilang gunanya. 

“Hah, kan? Dengar tu Kifa. Opah lagi muda, umur 15 tahun dah kahwin tapi bahagia sampai ke akhir hayat. Arwah datuk dah lama tak ada, tapi Opah Jah masih setia lagi. Kak Hidayah, mak kahwinkan dia lepas SPM, Kak Rihanna masa umur 19 tahun. Kifa pun dah 19 tahun kan? Sesuai sangat nak berkahwin.” Beritahu Rafeah lagi. 

“Betul cakap opah mak. Zaman sekarang ni, dengan zaman dulu, mana sama mak? Zaman sekarang ni, perempuan ramai yang berpendidikan. Kifa nak belajar lagilah, Kifa tak nak fikir lagi soal kahwin. Manalah tau kalau keputusan STPM Kifa okey kan? Dah lah mak cakap soal lain,” balas Kifayah. 

Kasihan kakaknya, Hidayah bukan main memberontak lagi kerana dipaksa berkahwin dengan duda anak dua itu. Namun selepas dipujuk emaknya akhirnya Kak Hidayah bersetuju. Tapi, tidak dia. Dia tidak akan mensia-siakan usia mudanya dengan berkahwin. Dia jenis yang berprinsip, ada matlamat hidup dan impian. 

“Mak ni makan ajinomoto lebih dulu dari Kifa, mak tahulah. Kalau kita tak teruskan tradisi zaman-zaman dulu, siapa lagi?” Kifayah sudah tidak mampu bertahan mendengar pujukan emaknya yang masih tidak berputus asa. 

“Apa yang mak nak sebenarnya ni?” Tanya Kifayah ingin tahu. Rafeah tersenyum mesra. Kini tibalah masanya. 

“Ermm, sebenarnya ada orang berkenankan Kifa. Dia dah merisik Kifa, orangnya kaya-raya, mak yakin Kifa akan hidup senang nanti. Bolehlah mak, ayah, adik, opah tumpang sekaki.” 

Kifayah ternganga mendengarnya. Terperanjat besar. Orang kaya? Orang kaya mana pula yang berkenankan dia ni? 

“Apa mak?” agak tinggi suara Kifayah. 

“Mak rasa, mak dah jumpa pasangan yang sesuai untuk Kifa. Mak yakin Kifa akan bahagia.” balas Rafeah dengan yakin. 

“Apa ni mak? Kahwin? Kifa tak nak mak. Kifa tak nak kahwin. Kifa masih muda, keputusan STPM belum keluar lagi, mak dah suruh Kifa kahwin. Tidak. Walau apa pun yang terjadi, Kifa tetap tak ingin. Kifa nak belajar lagi, kemudian nak dapat kerja yang baik-baik untuk masa depan Kifa.” Kifayah mengelengkan kepalanya.

Permintaan emaknya ini bagaikan pemutus jalan hidupnya. Dia rasa mahu menangis mengenangkan nasib diri. Tergamak emaknya berfikiran seperti ini. Rafeah tenang menghadapinya. 

“Kifa, tahu tak siapa yang melamar Kifa? Abang Man. Abang Man tu orangnya baik, kaya pula tu, pemurah, mak yakin Kifa akan bahagia dengan dia. Mak berkenan sangatlah dengan dia!” Beritahu Rafeah lagi. 

Kifayah terkejut besar. 

'Man Boroi? Lelaki tu yang mak maksudkan? Terbayang senyum gatal lelaki itu dan mukanya yang memualkan. Dengan perutnya yang boroi dan gigi yang rongak. Tidak! Tidak! Dia sanggup mati dari jadi isteri lelaki itu. 

“Apa mak? Man Boroi tu? Kifa tak sukalah Man Boroi tu. Jangan sebabkan dia kaya, mak butakan mata mak untuk paksa Kifa kahwin dengan lelaki gatal tu. Kifa tak kira, Kifa tak hingin,” Kifayah mula menangis. Eja juga terkejut. 'Man Boroi? Eeee, lelaki buruk macam tu nak dikahwinkan dengan Kak Kifa yang cantik? Melampau betul mak ni, nak tengok pun dah termuntah. Sekurang-kurangnya, carilah yang sedap mata memandang sikit.'

Opah Jah yang mendengar, turut terkejut.

“Biar betul Peah? Dah hilang akal ke kamu ni? Man Boroi tu nak dikahwinkan dengan Kifa? Rasanya umur dia dah tua kan? Dekat 40 an, Kifa ni baru 19 tahun, Peah. Kamu ni Peah, agak-agaklah sikit! Kalau dia meminang mak, mak pun tak kebulur tau?

Mak tak setuju, jangan kerana dia kaya kamu terus terima. Kasihan Kifa, dia yang nak mengadap Man Boroi tu siang malam! Kamu jangan nak merepek Peah!!” Opah Jah menyampuk dengan tegas. 

Di tepuknya bahu Kifayah untuk memujuk Kifayah yang sudah menangis. Opah Jah mengerti perasaan cucunya itu. Kalau dia pun, sudah melalak kuat. Rafeah yang mendengar merengus perlahan. Geram juga pada emaknya yang masuk campur hal ini. Rafeah segera menegur Opah Jah. 

“Mak, zaman sekarang ni, orang dah tak kisah paras rupa. Yang penting duit. Sekarang ni, semua benda memerlukan duit. Nak kencing, nak berak pun kena pakai duit!” Terang Rafeah. Opah Jah segera membalasnya.

“Kamu ni, memang jenis mata duitan sungguh. Jangan asyik fikir nak jalan yang mudah saja untuk hidup senang. Niat kita kena betul Peah. Ini soal masa depan anak-anak. Jangan buat main-main. Hidup senang- lenang pun buat apa, kalau harta orang Peah. Kamu tu pun pernah tersilap langkah yang tak ada guna nak menyesal lagi. Tak belajar lagi ke dari pengalaman kamu dulu. Jangan diikutkan sangat hati, nanti mati. 

Lagipun Man Boroi tu bukan lelaki yang baik. Kaya pun tak guna Peah, kalau anak kau tak bahagia nanti. Tak kesian ke dengan umurnya yang masih muda? Tak ke sia-sia je dia turut kehendak kamu?” Opah Jah menyampuk.

“Mak, zaman sekarang ni, semuanya pakai duit. Man boroi tu, peluang yang terbaik untuk kita sekeluarga nak hidup senang. Dia okey apa, baik je orangnya Peah tengok.

Kalau Kifa jadi bini dia, dapat rumah besar, kereta besar, disediakan pembantu rumah, dibelinya Kifa emas, intan permata. Silap hari bulan tidur pun atas duit. Mak pun boleh tumpang sekaki nanti.” Rafeah melobi-lobi Man Boroi. 

Opah Jah terus menyampuk.

“Mak tahu, mesti Man Boroi dah sogokkan apa-apa pada kamu, itu yang kamu bersetujukan? Kamu ni, lebih pentingkan harta dari kebahagiaan anak-anak. Jangan nak berdegil cakap mak, mak tegur ni ada sebabnya, mak lagi awal makan ajinomoto dari kamu,” Tegur Opah Jah dengan geram.

Rafeah mengigit bibir, geram. Sifat degilnya memang Opah Jah sudah maklum sangat.

“Mak, Peah tahulah apa yang Peah buat? Sebab pentingkan kebahagiaan dan masa depan anak-anaklah Peah nak kahwinkan Kifa dengan Man tu. Peduli apa, paras rupa tak penting, mak yang pentingnya Man tu baik, pemurah, berharta.” Terang Rafeah lagi. Kifayah terus mencelah.

“Baik apa lelaki gatal macam tu? Kifa dah agak, dia baik dengan mak selama ni, sebab ada makna kan? Lelaki yang suka memburuk-burukkan isteri, bukannya lelaki yang baik mak. Kifa tak suka mak, tolonglah jangan paksa kita kahwin, Kifa tak nak!” Kifayah cuba memujuk emaknya.

“Kifa, ingat. Syurga di bawah tapak kaki mak.Kifa harus ikut cakap mak. Jangan membantah cakap mak, mak nak Kifa kahwin juga dengan Man tu!” Rafeah terus membuat keputusan untuk anaknya. 

Kifayah terus bangun, menuju ke bilik untuk menyambung tangisnya dan melepaskan perasaan kecewa dengan sikap emaknya itu. Mata Man Boroi melilau ke serata gerai Kak Peah mencari Kifayah namun, hanya adiknya Eja yang kelihatan di situ. Kak Peah pula hilang entah ke mana.

Eja mengerling meluat pada Man Boroi. 'Tak sedar diri betul nakkan Kak Kifa, cerminlah diri tu dulu!' 

“Adik, mak mana?” Tanya Man Boroi dengan ramah pada bakal adik iparnya itu.

Cun juga, tapi tidak mampu menandingi Kifayah yang berwajah lembut, Eja ni bermata besar dan berwajah garang. Mesti ikut muka abang Pian.

“Entah?” Jawab Eja dengan dingin. 

“Kenapa Kak Kifa tak datang?” Tanya Man Boroi.

“Suka hati dialah!” Balas Eja garang.

“Amboi, garangnya anak dara ni. Abang Man bukannya apa, rindu sangat kat Kak Kifa, nanti balik kirim salam sayang peluk cium pada dia ya?” 

Berdiri bulu roma Eja mendengarnya.

“Eeee, apa ni? Kak Kifa tak sesuai dengan lelaki gatal macam abang Man tau?” Marah Eja dengan penuh benci. Lelaki macam ni yang mak tergamak jodohkan dengan Kak Kifa?

“Alah,dik abang Man gatal dengan Kak Kifa sorang je, abang Man tak sabar nak kahwin dengan Kak Kifa. 

Kalau abang Man jadi abang ipar adik, nanti abang Man bawa satu family adik pergi makan angin kat Pulau Langkawi. Nak tak?” Man Boroi cuba mengumpan Eja pula.

“Maaflah, saya tak makan rasuah. Kalau bawa pergi ke bulan sekalipun, jangan harap saya akan setuju,” kata-kata kasar itu terhenti apabila Rafeah datang. 

'Seharian Kak Kifa terperuk dalam bilik, menangis tak henti-henti kerana merajuk dengan mak. Kasihan Kak Kifa.' Eja menumpang sedih.

“Hai Man? Bila sampai? Rancak berbual?” Tegur Rafeah dengan ramah. Gembira dapat jumpa bakal menantunya ini. 

“Baru je, Kifa tak datang ke hari ni Kak Peah?” Soal Man Boroi. 

Rafeah tersenyum hambar apabila mengingatkan anaknya itu. Kifayah terus merajuk, tidak mahu ikut Rafeah berniaga. 'Biasalah mula-mula tak nak, nanti bila dah kahwin berkepitlah Kifayah siang malam dengan Man Boroi. Lama-lama sayanglah Kifa pada Man. Hidayah dulu pun, membentak macam ni jugak. Sekarang okey je pun.' Desis hati Rafeah. 

“Kifa tak berapa sihat. Biasalah cuaca panas sekarang ni. Dia berehat kat rumah!” Terang Rafeah. Man Boroi yang mendengar begitu cemas dan panik. Mahu tidak panik, bakal isteri sedang sakit.
Eja mencebik, over acting lah pulak Mat Rongak ni?

“Ya Allah, biar betul Kak Peah. Kesiannya dia, risaunya saya. Nak saya bawa dia ke klinik tak? Dia dah makan ubat ke belum?” Tanya Man Boroi berulang kali dengan risaunya. Rafeah tersenyum senang. Ternyata lelaki ini sudah sayang pada anaknya.

“Dah makan. Petang tadi dah okey sikit. Janganlah Man risau,” balas Rafeah.
Perbualan itu terhenti apabila ada pelanggan yang mahu membeli laksam. Namun Man Boroi tetap setia menanti. Setelah pelanggan itu berlalu, Man Boroi menyambung.

“Lega saya mendengarnya Kak Peah. Bukan apa, siapa yang tak sayang bakal isteri yang cantik macam tu? Err, Kak Peah saya ada belikan Kifa hadiah istimewa untuk dia. Nanti Kak Peah sampaikan hadiah ni pada dia ya?” Man Boroi menghulurkan beg kertas pada Rafeah. Kelihatan kotak yang dibalut cantik dan kemas. Rafeah tersentak kerana tidak menyangka, lalu tersenyum sampai telinga. Bab hadiah-hadiah ini memang dia paling suka. Tentu hadiah yang mahal. 

“Ishh, buat susah-susah je Man,” ujar Rafeah pura-pura segan. Man Boroi hanya tersengih.

“Tak apa, untuk Kifa kalau bulan dan bintang tu saya boleh beli, dah lama saya pergi borong sepuluh lori untuk dia. Errrr, Kak Peah dah beritahu ke, pasal lamaran saya untuk dia?” Tanya Man Boroi yang mula berdebar-debar. 

Memang dari tadi, hatinya meronta-ronta ingin tahu. Tidak sabar rasanya ingin menamatkan zaman dudanya.Rafeah tersenyum hambar. Dia risau juga apabila Kifayah menolaknya tapi dia yakin Kifayah lambat-laun akan bersetuju. Haruskah dia memaksa anaknya itu?

“Sabarlah Man, Kak Peah tengah pujuk dia. Biasalah, dia kan baru habis periksa, tiba-tiba suruh kahwin. Itu yang agak terkejut sikit. Dia perlukan masa nak fikir, tapi Man jangan risau, Kifa tak pernah membantah cakap Kak Peah. Kak Peah yakin dia akan terima Man sebagai suami.” Maklum Rafeah dengan yakin.

“Tak apa, saya sanggup tunggu seribu tahun lagi Kak Peah, demi untuk Kifa. Err, Kak Peah bungkuskan lima bungkus laksa dan lima bihun sup ya?” Pinta Man Boroi dengan mesra.

Rafeah mengangguk dan segera memenuhi permintaan pelanggan paling setianya itu.





BERSAMBUNG .. :D