Followers

Wednesday 5 June 2013

DILARANG MASUK KE HATIKU BAB 11


OLEH : MYA AZLISHA


IZZATI dan Farisa dalam perjalanan pulang ke Penang. Namun Izzati leka memikirkan masalah Kifayah.

Farisa menyanyi mengikut lagu yang diputarkan di radio. Stereng kereta diketuk perlahan, ikut irama lagu. 

“Kenapa Zatti senyap ni? Fikirkan Kifa lagi?” Tanya Farisa. 

“Kasihan Kifa kak, lagi dua minggu dia akan bertunang dengan Man Boroi. Keluar je result STPM nanti, dia akan kahwin dengan Man Boroi tu!” Cerita Izzati dengan sedih. 

Farisa melepaskan keluhan, simpati juga dengan nasib yang menimpa Kifayah.

“Nak buat macam mana? Kalau kita boleh tolong Kifa, kita dah tolong pun kan?” balas Farisa .

“Siapa kata akak dan Zatti tak boleh tolong Kifa?” Tiba-tiba suara itu bergema dalam kereta yang sedang meluncur 80 KM sejam itu.

Izzati dan Farisa terperanjat mendengarnya. Segera berpaling ke belakang. Ternganga melihat Kifayah kini berada di tempat duduk belakang sambil tersengih.

“Opocot mak kau Kifa! Aku tolong eh, kau tolong!! Eh kancil tolong!!!” Farisa melatah, terus memberi signal dan berhenti di tepi jalan. Masing-masing mengurut dada. Terbeliak mata Farisa dan Izzati melihat Kifayah. Rasa macam tidak percaya, orang yang disebut-sebut tiba-tiba muncul. 

“Kifa? Kau?” Tanya Izzati tidak percaya.

“Iyalah, aku!” Kifayah mengenyitkan matanya sambil tersengih nakal. Farisa segera mencelah.
“Macam mana Kifa boleh ada dalam kereta akak ni? Kifa ada kat belakang dari tadi ke? Macam mana boleh akak dan Zatti tak sedar? Kenapa Kifa boleh ada kat sini? Kifa nak ke mana ni?” Tanya Farisa bertalu-talu

“Iyalah Kifa, macam mana kau boleh ada kat sini?” Tanya Izzati dengan hairan dan cemas.

“Opss, sabar, sabar. Tarik nafas dulu, akak teruskan perjalanan. Tengah-tengah highway ni, akak berhenti. Nanti orang ingat kereta akak rosak pula.” Kata Kifayah dengan bersahaja. 

Farisa tersentak. Betul juga cakap Kifa? Kang tak fasal-fasal kereta PLUS datang nanti. 

“Okeylah sekarang ni, cerita. Cepatlah, tergedik nak tau ni!” Pinta Farisa lalu menekan pedal minyak meneruskan perjalanan ke Penang.

“Kifa nak ikut akak dan Izzati ke Penang. Kifa nak kerja kat sana, nak tinggal dengan akak dan Izzati. Boleh kan?” Terang Kifayah.

“Apa? Ke Penang? Kerja kat sana? Kau biar betul Kifa, mak dan ayah kau tahu ke ni? Kau lari dari rumah ya?” Kata Izzati dengan risau. Farisa pula menyampuk.

“Ishh, kalau lari dalam rumah, ini dah jadi kes polis tau tak? Kalau kena tangkap, akak ni dikira penculik yang sangat dikehendaki polis. Nanti muka akan terpampang dalam suratkhabar, dilekatkan dekat pokok. Tidak, tak mungkin! Akak memang suka glamour, tapi bukan dengan cara yang macam ni. Kifa jangan nak cari fasal?” Tegas Farisa mula pucat mukanya. 

“Relakslah akak, Zatti. Kifa tak larilah, Opah tahu, Eja pun tahu. Diorang yang suruh Kifa pergi jauh-jauh dari rumah. Opah dah tak tahu lagi macam mana nak nasihatkan mak dan ayah yang kepala batu tu sebab Opah dan Eja pun tak setuju Kifa kahwin dengan Man Boroi.

Sebenarnya, Kifa tak tahu nak minta tolong siapa lagi, bila Opah bagi cadangan suruh Kifa pergi jauh dari rumah, tiba-tiba Kifa terfikir nak ikut akak dan Zatti ke Penang. Masa akak dan Zatti tengah bersalam makcik Salmah, terus senyap-senyap Kifa menyusup dalam kereta.Akak dan Zatti pun, boleh tak perasan Kifa dari tadi. Bukannya Kifa tak nak tonjolkan diri dari rumah tadi, tapi Kifa risau kalau-kalau akak tak izinkan Kifa ikut. Kifa minta maaf ya kak?” Terang Kifayah begitu mengharap.Farisa dan Izzati lega mendengar penerangan Kifayah. Farisa segera mencelah.

“Ya ALLAH, ni memang dah habis fikir ke Kifa? Akak sebenarnya tak kisah, senang sikit hati ni bila boleh tolong Kifa lari dari masalah Kifa tu. Kasihan Izzati, muka monyok macam dugong betina hilang laki sejak dari tadi, fikirkan masalah Kifa. Akak pun rasa, ini yang terbaik untuk Kifa. Memang patut pun Kifa lari je dari rumah. 

Kifa boleh ikut je akak, akak tak kisah. Lagipun, rumah kami tu ada satu lagi bilik kosong. Fasal kerja, memang rezeki Kifa agaknya sebab kilang kami sekarang ni memang tengah iklan jawatan kosong,” terang Farisa dengan ramah. 

Kifayah tersenyum pada Izzati. Rasa lega dengan penerimaan kakak Izzati itu. Hatinya sedikit tenang dan tekanan kian menghilang.

Terbeliak mata Rafeah membaca surat yang di tulis oleh Kifayah. Dia mengelengkan kepalanya. Soffian terus terhenyak lesu atas kusyen.

Manakala Opah Jah dan Eja menayang muka selamba. Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu. Janji mereka dengan Kifayah harus ditepati.

“Mak, macam mana Kifa boleh lari ni? Macam mana Mak jaga Kifa? Kifa lari ke mana? Ya Allah, mak! Kifa tu nak bertunang dua minggu lagi mak. Mak jangan buat lawak kat sini. Kifa tak lari kan?” Tanya Rafeah.

“Kifa kan dah cakap, dia tak nak kahwin dengan Man Boroi, tapi kamu paksa dia. Bila dia lari, jangan nak salahkan mak pula. Pandai-pandailah dia jaga diri, dia kan dah besar. Daripada musnah masa depan kalau dia terus tinggal dalam rumah ni, lebih baik dia pergi je dari sini.” Terang Opah Jah dengan bersahaja.

Rafeah membaca surat yang di tulis Kifayah sekali lagi. Hancur musnah impiannya. Tidak menyangka Kifayah, anak yang paling baik itu sanggup melarikan diri dan ingkar dengan kehendaknya.

Assalamualaikum.

Mak, ayah, Kifa minta maaf kerana terpaksa pergi. Kifa juga ada hati dan perasaan, biarpun Kifa sayangkan mak dan ayah, tapi Kifa tak mahu mengorbankan masa depan Kifa. Kifa masih muda untuk berkahwin. Kifa juga tak mahu menjadi isteri Man Boroi.
Kifa minta ampun, ibu bapa memang wajar di taati, tapi sekiranya permintaan mereka melampau kehendak hati, tidak semestinya kita sebagai anak harus menuruti. Jika semua ibu bapa mengungkit jasa mereka membesarkan anak mereka, dan menghitung setiap sen yang dikeluarkan untuk membesarkan anak mereka, memang sukar untuk mana-mana anak membalasnya kerana hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalasnya. Kifa hargai susah payah mak dan ayah membesarkan Kifa selama ni, namun itu bukan alasan untuk mak dan ayah paksa Kifa terima Man Boroi kerana itu melibatkan masa depan Kifa.
Sekian, redhakan pemergiaan Kifa. Jangan bimbang, Kifa pergi ke tempat yang selamat. Kifa juga sentiasa mendoakan kesejahteraan mak dan ayah setiap kali Kifa bersolat. Maafkan Kifa kerana terpaksa pergi.

~Kifayah~

Rafeah dan Soffian benar-benar tidak menyangka Kifayah akan lari dalam rumah.Impian mereka ingin bermenantukan Man Boroi bagaikan retak menanti belah. Macam-macam angan-angan sudah terencana dalam kepala otak mereka seandainya Kifayah menjadi isteri Man Boroi. 

“Mak, Kifa ke mana ni mak? Dia bagitau mak tak? Kenapa mak tak halang Kifa? Sampai hati mak buat Peah dan Pian macam ni.” Luah Rafeah. 

“Peah, Pian! Kifa kan dah banyak kali cakap, dia tak mahu kahwin, tapi kamu paksa dia. Kamu tak peduli pendapat dan perasaan dia. Kamu berdua lebih pentingkan duit dari perasaan anak. Dia setuju ke, tak ke, kamu tak peduli, yang penting dia mesti ikut cakap kamu. 

Jangan gunakan kuasa kamu sebagai orang tua untuk membuatkan anak kamu ikut semua kehendak kamu.Sekarang ni, bila keadaan jadi macam ni, jangan nak salahkan mak pula. Biarkanlah dia pergi, daripada duduk dalam rumah ni. Demi kebahagiaan dia, mak akan selalu doakan keselamatan cucu mak tu.” Opah Jah terus masuk dalam bilik bersama sekutunya Eja.




TAMAT DI BLOG.... terima kasih sudi membaca karya dari kak mia ..doakan agar mss DILARANG MASUK KE HATIKU terpilih dan insyallah akan ke versi cetak menemui peminat..... semoga ceria bak pelangi ;)