Followers

Saturday 16 November 2013

DILARANG MASUK KE HATIKU BAB 12





JOHAN memerhati Arrian Syah yang sedang memperbaiki motosikal Yahamanya yang pancit tayar di halaman rumah bujang mereka. Arrian Syah kini sedang menampalkan bahagian yang bocor itu. 

“Seronok sungguh hang balik naik kuda tadi Johan,” Perli Arrian Syah sambil gelak. Johan mencebik sesekali menjeling rumah jiran mereka, yang dipanggil Geng Dara. 

“Gelaklah puas-puas, esok-esok sampai giliran hang balik naik kuda, aku gelak berguling-guling.” Fadzli yang mengikuti perbualan tergelak lucu. 

Tiba-tiba SMS masuk. Dari Fariha, baru saja putus nak minta berbaik. Dia sedang berkira-kira untuk menerima. Betul ke Siti Fariha akan berubah? Sedangkan Fadzli selalu ternampak Siti Fariha keluar dengan lelaki lain. Namun dia memberi alasan yang lelaki itu hanya kawan biasa.Suara Johan menghentikan lamunannya.

 “Mana awek aku, tak sampai lagi ni. Aku ni dah deman rindu. ” Kata Johan yang memandang ke arah jalan. Buah hatinya sudah pun bertolak dari kampung petang tadi, namun masih belum sampai. Setelah tayar di pamkan angin, Arrian Syah memasangkan tayar itu ke motosikal Johan. 

“Hang tu, dah macam orang gila aku tengok. Geli aku!” Sindir Arrian Syah. “Eleh, kutuk member nampak. Jeles ler tu aku ada awek. Teringin jugak aku nak tengok hang bercinta. Dulu masa merempit pun, dapat hadiah bohsia pun hang tolak.Umur dah 26 tahun, duit hang pun dah bertimbun dalam bank tu nak buat apa? Cari bini, kahwinlah wei. Nak kata gay, tak pernah pun hang terliur tengok aku yang merupakan lelaki terseksi di Penang ni?” Tanya Johan. Siap sudah Arrian Syah memasang tayar motosikal Johan.

 “Betul cakap Johan tu. Kami semua dah ada awek, hang tu bila lagi? Tak teringin ke nak bercinta?” Celah Fadzli. Arrian Syah mengangkat bahu. Setakat ini, tiada gadis yang mampu menarik minatnya. Entah kenapa ya? Kadang-kadang terfikir juga, dia bukan lelaki normal ke? Tak boleh membayangkan bagaimana agaknya dia berkasih-kasihan dengan orang perempuan. 

“Tak usah tanya lah! Aku malas nak fikir lagilah. Kalau ada, ada je lah nanti.” Cerita Arrian Syah dengan malas. Bukan apa, rimas dia melihat telatah rakan serumahnya yang nampak lucu dan bodoh apabila bercinta. 

“Kita ni kerja kilang je Arri, kalau ada yang berkenan pun dah cukup besar rahmat. Memilih lah hang ni, nak cari yang superb macam Lady Gaga tu memang takdelah jawabnya.” Mereka semua tergelak mendengarnya. Arrian Syah membalasnya. 

“Aku bukan memilih Joe, masalahnya, aku tak berminat. Gaji memang dah stabil tapi, tak akan nak harapkan gaji saja kot nak bela bini? Hang pun Joe, takkan hidup nak bergantung pada gaji kilang je, tak sampai hujung bulan dah semput. Macam mana nak bela anak bini nanti? Perempuan Joe, sebulan dua tahanlah hidup susah, sanggup bertolak-ansur, tapi bila dah berbulan-bulan, bertahun-tahun, siapa yang sanggup tahan? Meletup juga nanti!” Terang Arrian Syah.

 “Betul jugak cakap hang tu Arri, tapi aku yakin Farisa tu sayang aku. Dia terima aku seadanya, sanggup susah senang bersama aku ” Maklum Johan. 

“Dah tu, mulalah menyimpan duit nak kahwin. Rasanya, simpanan pun takdak lagi kan?” Balas Arrian Syah lagi. Johan tersengih-sengih.Setiap hari, dia sentiasa mempunyai cita-cita untuk menyimpan duit, namun tidak pernah berjaya. Lampu kereta kancil, menyilau mata Johan yang sudah tersengih-sengih. Gembira kerana Farisa sudah sampai.

 Rindunya…Terus bergerak pantas ke pagar besi yang merentangi dua buah rumah kos rendah ini. Arrian Syah hanya mengelengkan kepalanya melihat Johan yang sudah dijangkiti wabak miang rebung itu. Kelihatan Farisa keluar dari kereta setelah memparkirkan kereta kancilnya di depan rumah. Diikuti oleh adiknya Izzati.

 “Hai....baru sampai?” Tegur Johan tersenyum sengih. “Ahah, baru sampai. Abang buat apa kat luar ni?” Tegur Farisa berbunga senyum. Arrian Syah hanya memerhati pasangan dua sejoli itu sambil tersenyum dan mengelengkan kepalanya. 

Namun, senyumannya mati di kala matanya tertancap pada seraut wajah lembut yang baru keluar dari kereta kancil Farisa. Terus degupan jantungnya berlari pecut, lebih pantas dari biasa. Ombak tsunami mula menghempas-hempas pantai hatinya yang selama ini kegersangan tanpa sebarang rasa. “Errr, siapa tu Farisa?” Tanya Arrian Syah yang tiba-tiba menyibuk, menolak badan Johan yang kering macam cicak kobeng itu ke tepi. Johan terkesima, mengetap bibir tanda geram. Wah, ini sudah lebih! Johan yang menjeling tajam padanya kerana kacau line tidak dipedulikan Arrian Syah. 

Kifayah pantas mendapatkan Izzati lalu beriringan ke dalam rumah. Tidak selesa berlama di situ kerana lelaki itu memandangnya semacam. 

“Kawan, satu kampung juga dengan kami. Datang nak kerja kat sini.” Cerita Farisa. Arrian Syah tersenyum penuh minat bersama denyutan jantung yang tidak henti-henti kencangnya. “Oh, apa namanya?” Tanya Arrian Syah dengan pandangan penuh makna. 

“Kifayah. Okeylah, Farisa masuk dulu. Penatlah, bye abang Johan.” Farisa terus masuk tanpa sempat Johan memberikan sepuluh patah yang sudah terangka dalam otak Johan. Johan merengus kasar, merenung tajam Arrian Syah.

 Di jelingnya Arrian Syah yang tidak lepas pandang ke arah rumah geng dara. Dicekaknya baju Arrian Syah dan mengangkat penumbuk. “Hang ni, memang melampau. Berani hang usha awek aku? Potong pula line aku nak mengatal mengeletis dengan awek aku tadi! Aku nak melepas rindu pun tak sempat lagi, hang dah masuk jarum!” Marah Johan yang sudah merah padam mukanya. 

Arrian Syah yang tersentak, tersenyum lucu. “Wooo, relaks lah brader. Aku bukan usha awek hanglah, aku usha awek bertudung biru tu!” Cerita Arrian Syah sambil tersenyum angau. Johan melepaskan baju Arrian Syah yang dicekaknya. 

“Betul ni?” Tanya Johan sekali lagi. 

“Betul lah, apa kes nak caras awek hang? Ingat aku ni, jantan murahan ke? Aku usha, Kifayah tu, kawan sekampung Farisa. Cantiklah!” Puji Arrian Syah dengan penuh perasaan. 

Johan berasa pelik pula. “Hang ni, biar betul. Lain macam aku tengok, macam wayar putus je.Tak pernah pula, hang mengatal selama ni bila tengok orang perempuan! Apa dah jadi ni?” Johan rasa pelik pula.
 
Arrian Syah hanya tersengih-sengih dan terus masuk dalam rumah, namun wajah Kifayah terus menghantuinya dan muncul di merata sudut. Sehinggakan, dinding pun dah nampak seperti Kifayah. Sah dia sudah dijangkiti wabak miang rebung seperti Johan dan yang pastinya pengubatnya hanyalah gadis yang bernama Kifayah itu. Dia memegang dadanya. Ada getaran rasa yang sungguh indah dan mengasyikkan.
Arrian Syah tersenyum sendirian. Dia lelaki normal rupa-rupanya. Akhirnya dia jatuh cinta.




Semoga Ceria Bak Pelangi...

psstt.... kak mia kata novel ni bakal terbit dalam bulan 12 kalo tak aral-melintang insyaAllah ... under mana  ceq masih tak dapat tahu nanti bila dah tahu ceq war2 kan erkk... nantikan kisah KIFAYAH ,
ARRIAN SYAH dan ENGKU EDRY ASHMAN
yang bakal ke versi cetak tak lama lagi... siapa yang bakal bergelar hero hati KIFA? 

Thursday 7 November 2013

KITA KAHWIN KOBOI? PROLOG





PROLOG

Khalish Aqimie memeluk lututnya sambil cuba menekapkan telinganya dengan ke dua belah tangan. Air matanya mengalir. Jelas tekanan terpampang di wajah kecilnya. Ke dua ibu bapanya bergaduh lagi. Itulah yang selalu berlaku seandainya ke dua manusia ini bertemu. Tengkingan ayahnya, dijawab dengan tengkingan oleh ibunya bagaikan mengegarkan ketenangan dalam rumahtangga yang semakin lama hilang. 

“Kau tau tak, aku menyesal sangat kahwin dengan kau. Hei, perempuan bodoh je yang boleh tahan dengan perangai kau tau tak? Kau buat rumah ni macam hotel. Tu, anak kau langsung kau tak peduli. Aku dah benci dan menyampah tengok muka kau, tau tak? Kalau macam ni, baik kau tak payah balik! Kau pergi, berambus! Kau gilakan sangat pelacur tu kan? Kau kahwin je dengan perempuan kotor tu! Itu je perempuan yang layak untuk lelaki tak guna macam kau!” Tengking ibunya dengan kuat.

 “Kurang ajar! Hei, kau ingat aku suka sangat ke mengadap muka kau ni! Perempuan kurang ajar macam kau ni, lelaki bodoh je yang akan simpan buat bini. Kau jangan ingat aku tak tau tembelang kau selama ni. Kau selalu bawa jantan balik ke rumah kan, masa aku tak ada! Kau pun sama perempuan jalang! Aku dah bosan hidup dengan kau tau tak?” Tengking ayahnya pula. 

“Biarlah, suka hati akulah. Macamlah kau tu baik sangat! Memang aku dah ada penganti kau, lebih baik dari jantan tak guna macam kau ni. Sia-sia saja aku habiskan hidup aku kahwin dengan kau. Ada laki, macam tak ada laki! Lebih baik, aku menjanda lagi baik dari jadi dapat suami haprak macam kau ni! Aku akan keluar dari rumah ni, dan kau ceraikan aku sekarang!” Cabar ibunya lagi. 

“Hei, kau ingat aku kebulur sangat ke nak simpan kau? Baik, aku ceraikan kau dengan talak 3. Kau berambus dari rumah ni! Berambus!!!!” Tengking ayahnya dengan kuat. 

Khalish Aqimie membukakan matanya apabila pintu bilik di kuak. Kelihatan ibunya meluru ke almari dan mula sibuk memasukkan baju-bajunya ke dalam beg. Biarpun Khalish Aqimie tidak pernah di beri perhatian dan kasih sayang oleh ibu dan ayahnya, namun sebagai anak yang masih belum mengerti nafas hidup, dia tetap memerlukan belas ehsan dari ke dua insan yang membawanya ke dunia ini. 

“Ibu, ibu nak ke mana ni?” Tanya Khalish Aqimie lalu memegang tangan ibunya. 

Terus saja badannya ditolak kasar. “Kau jangan nak menyibuk boleh tak? Pergi sana! Bapak kau dah ceraikan aku! Kau pergi hidup dengan bapak kau, dan betina sundal tu!” Marah ibunya tanpa sikit pun rasa simpati pada anaknya yang masih berumur 6 tahun itu. 

“Ibu nak tinggalkan Qimie ke? Ibu...ibu...jangan pergi. Kalau ibu pergi Qimie macam mana?” Tanya Khalish Aqimie dengan tangisan yang mula lebat.

 “Hei betina, anak kau ni, kau bawa sekali okey! Jangan nak tinggalkan beban kau kat sini. Pandai kau beranak, pandailah kau bela dia. Aku tak ada masa nak bela anak haram ni, anak ni belum tentu lagi anak aku! Kau berambus, bawa budak ni!” ayahnya yang tiba-tiba muncul terus menengking ibunya.

 “Kau ni memang tak guna tau tak? Aku tak akan bawa budak ni, kau nak kata apapun, katalah. Ini anak kau bodoh, berani ya kau kata anak ni anak haram! Kau jangan nak samakan aku, dengan betina sudal simpanan kau tu! Memang kau ni lelaki bangsat, tau tak? Aku memang benci kau sampai mati. Jadi apa saja yang berkaitan dengan kau, aku tak kebulur nak simpan. Kau buatlah, apa yang kau nak buat pada anak kau ni! Aku malas nak ambil tau!”

 Berlaku pergelutan antara ke dua ibu bapanya. Badan ibunya ditolak kasar, kaki ayahnya menendang belakang ibunya. Khalish Aqimie hanya mampu menangis sekuat hati melihat ibunya dikasari bapanya. Dia benar-benar takut. Takut melihat keganasan ini. Ibunya terus sahaja meluru keluar, namun ayahnya terus mendesak ibunya agar membawa Khalish Aqimie bersama. Tangannya diraih kasar, terus sahaja dia ditolak keluar dari rumah. Betapa hinanya dirinya di mata ke dua orang tuanya. Langsung tiada rasa simpati dan kasihan pada anak mereka yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa ini. 

“Hei, betina! Kau bawa budak ni kalau tak, aku pijak dia sampai mampus!” Jerkahnya ayahnya. Khalish Aqimie memegang lututnya yang sakit. Berdarah! 

Khalish Aqimie memegang telinganya yang perit dipiat oleh ibunya yang terus memaki hamunnya. Lutut dan sikunya yang berdarah kerana dihumban ayahnya keluar rumah tadi masih terasa sakitnya. Salahkah dia menangis kerana kesakitan ini? 

“Hei bodoh, kau boleh diam tak? Kau ni, dengan bapak kau sama je! Menyusahkan hidup aku!” Maki hamun ibunya lagi. Tiba-tiba telefon ibunya berdering. Terus ibunya menjawab. Nada suara yang keras tadi telah bertukar lembut. 

“Hello, sayang. Hmm, lelaki tak guna tu dah ceraikan Shima. Shima dah keluar dari neraka tu. Iya ke sayang? Okey, nanti Shima datang pada sayang. Anak Shima? Errr, anak Shima...er...jantan tak guna tu yang bela. Shima seorang je ni, okey sayang. Kejap lagi Shima sampai. Iya, Shima pun rindu...okey, sayang mandi wangi-wangi tau, bye. Love you! Muahhh!” Khalish Aqimie menoleh pada ibunya. 

Seingatnya, ibu tidak pernah bercakap selembut ini dengannya. Dia seolah-olah menjadi tempat ibunya melepaskan kemarahan dan kebencian pada ayahnya. “Sial betullah kau ni, menyusahkan aku tau tak? Kenapalah kau lahir kat dunia ni, kau ni Cuma bawa beban je dalam hidup aku? Silap akulah, tak pijak-pijak kau sampai mati masa kau kecik-kecik dulu! Bodoh!” Sempat lagi ibunya menunjal-nunjalkan kepalanya. 

Khalish Aqimie hanya teresak-esak mendengarnya maki hamun ibunya. Hati kecilnya rasa begitu pedih. Tidak pernah ada sekelumit kasih sayang yang dicurahkan padanya. Hanya kemarahan, maki hamun dan pukulan yang diterimanya saban hari. Kereta dihentikan oleh ibunya di tepi jalan. 

“Kau nampak tempat tu?” Tanya ibunya. Khalish Aqimie menoleh ke arah bangunan yang ditunjukkan itu.

 “Kau pergi dalam sana. Mereka tu akan kutip kau dan bela kau. Aku tak ada masa nak bela dan aku tak ada duit nak tanggung kau. Macam mana aku benci bapak kau, macam tulah aku benci tengok muka kau! Hidup kau lebih baik kat sana berbanding hidup dengan aku,” beritahu ibunya lalu keluar dari kereta. 

Mengambil beg yang memuatkan baju anaknya. Kemudian membuka pintu di tempat duduk anaknya, menarik tangan Khalish Aqimie dengan kasar. Dia sudah membuat keputusan akan mencampakkan anaknya ke rumah anak-anak yatim ini. 

“Ibu, Ibu nak bawa Qimie ke mana ni? Ibu....ibu.....” terus sahaja tangan kecilnya bergantung pada ibunya. Pintu pagar tempat itu ditutup. Mungkin kerana malam. Ibunya yang tidak mempedulikan dia terus berlari laju ke kereta. Khalish Aqimie cuba berlari mendapatkan ibunya yang sudah masuk ke dalam perut kereta. Cermin kereta ibunya diketuk berulang kali. 

“Ibu, ibu jangan tinggalkan Qimie. Qimie janji Qimie tak akan nakal. Qimie tak akan susahkan ibu. Ibu....Ibu.....” jerit anak kecil itu, namun kereta ibunya terus berlalu meninggalkan dia di situ bersama tangisan yang kuat. Dimanakah sifat belas kasihan dalam diri manusia yang bernama ibu ini? Tergamak meninggalkan anak kecilnya yang tidak berdosa di tepi jalan? Kuatkanlah kau, wahai si anak kecil menempuhi dugaan hidup dalam usiamu yang baru mencecah 6 tahun ini. Kasih sayang yang kau dahagakan sudah kering tanpa sekelumit ihsan pun. Ibu bapamu telah menjadikan kau anak yatim selagi belum tiba masanya. 




BERSAMBUNG.... ;)