BAB 3
Dania
menyorong kerusi roda ayahnya menuju ke jalan besar. Hari ini ayahnya mempunyai
temujanji dengan pakar fisioterapi. Dania juga mahu mengambil ubat ayahnya yang
sudah habis. “Awal Nia balik berniaga hari ini? Dah habis ke nasi lemaknya?”
Soal Aminuddin sambil terbatuk-batuk.
Dania memandang ke kiri dan ke kanan jalan.
Kelibat teksi masih belum kelihatan. “Alhamdullilah ayah. Hari ni jualan laku.
Itu yang Nia balik awal. Ayah batuk ke? Alahai, kejap lagi Nia ambil ubat batuk
sekali ya?” Maklum Dania bimbang.
“Ayah batuk sikit je. Tak payahlah ambil ubat.
Ubat yang wajib kena makan pun, mahal harganya. Lagipun ayah ni dah tua, sakit
pun dah jadi sahabat baik. Makan lah ubat bergelen pun, tak adanya nak sembuh.”
Jawab Aminuddin yang sebenarnya terharu memiliki anak setulus Dania.
Rajin, penyayang dan
bertanggungjawab. Dalam usia semuda ini, dugaan yang diterima Dania amat berat
untuk dipikul. Dia tahu, Dania sedaya upaya mempamerkan ketabahannya. Dania
terlalu rapat dengan arwah isterinya. Sejak kematian isterinya hampir setiap
malam Dania akan menghadiahkan surah Yassin yang akan dibacanya dengan air mata
yang bercucuran. Dania pula akan tidur sambil memeluk baju kurung ibunya.
“Ishh, ayah ni. Nia nak ayah
sihat. Pasal duit ayah jangan risau ya? Alhamdullilah, Nia dapat kumpul banyak
minggu ni. Hishh, manalah teksi ni? Lambat pula hari ni.” Mata Dania masih
tercari-cari kelibat teksi.
Tiba-tiba sebuah kereta mewah berhenti di sisi
mereka. Dania tersentak apabila Khaliff keluar dari kereta tersebut.
“Assalamualaikum…” ucap Khaliff
berbunga senyum. Dania melirik pada ayahnya dan mereka sama-sama menjawab
salam. Khaliff menghulurkan tangan bersalam dengan ayah Dania. Sopan dan
beradab. Sejuk hati orang tua itu.
“Err, Nia. Ini ayah Nia ke?”
Tanya Khaliff.z
A
“Ahah, ni ayah Nia. Ayah, kenalkan ini Encik
Khaliff. Dia tuan punya resort kat hujung kampung kita. Encik Khaliff ni selalu
membeli nasi lemak Nia.” Cerita Dania pada Aminuddin yang terpinga-pinga tadi.
Aminuddin mengangguk faham. “Oh….” Khaliff
tersenyum.
“Tak payah panggil saya encik.
Panggil saja saya abang Khaliff. Err, pakcik dengan Nia ni, nak ke mana ya?”
Tanya Khaliff.
Aminuddin menjawabnya. “Kami nak ke Pekan.
Pakcik ada temujanji dengan doktor, nak ambil ubat sekali.” Khaliff mengangguk
faham.
“Oh, macam tu ya? Hurmm, kebetulan saya pun
nak ke Pekan. Apakata kalau pakcik dengan Dania pergi dengan saya?” Pelawa
Khaliff membuatkan Dania tersentak.
“Errr, tak payah encik Khaliff.
Kami tengah tunggu teksi ni. Nanti adalah tu, buat susah-susah je.” Dania terus
menolak.
Aminuddin mencelah. “Ya nak,
tak payah susah-susah. Menganggu kerja Khaliff saja.”
“Jangan fikir macam tu pakcik.
Saya betul-betul nak tolong. Mari saya hantarkan. Jangan risau, tak susahkan
saya pun. Mari?” Pelawa Khaliff yang sudah pun menolak kerusi roda Aminuddin ke
keretanya.
Dania dan Aminuddin tidak mampu melarang.
Dania lantas memapah ayahnya, dibantu oleh Khaliff untuk memasukkan Aminuddin
dalam kereta. Setelah itu, kerusi roda dilipat dan disimpan di bonet kereta,
Dania pun masuk ke dalam perut kereta dan duduk di sebelah Khaliff yang
memandu.
“Ayah macam mana? Okey ke?” Tanya Dania yang
berpaling ke belakang. Aminuddin mengangguk.
“Ayah okey.” “Ayah nak minum?”
Dania mengeluarkan botol mineral dari dalam begnya. “Boleh juga, ayah dahaga.”
Dania menuangkan air ke dalam gelas plastik yang dibawa lalu dia menghulurkan
pada ayahnya. Sikap prihatin dan penyayang Dania itu menarik minat Khaliff.
“Alhamdullilah..” ucap
Aminuddin setelah selesai minum. Dania tersenyum lalu menyimpan gelas.
“Pakcik okey ke?” Khaliff pula
bertanya.
“Pakcik okey, alhamdullilah.
Seumur hidup pakcik, ini pertama kali pakcik naik kereta mahal. Segan rasanya
pakcik. Terima kasih ya nak, sudi tumpangkan kami.” Ucap Aminuddin.
Khaliff tersenyum mendengarnya.
“Pakcik ini, segan saya. Saya tak ada masalah nak tolong pakcik dengan Dania.
Apa salahnya kita saling membantu kan? Harta yang saya ada ni, hanya pinjaman.
Apa salahnya saya berkongsi sikit dengan orang. Tak luak pun. Errr,
pakcik….pakcik dah lama tinggal dalam kampung ni kan? Pak Samad kata, pakcik
antara yang terawal yang membuka kampung ni. Iya ke pakcik? Teruja saya
mendengar, tentu pakcik ada banyak pengalaman kan?” Tanya Khaliff ramah.
Dania mengerling Khaliff yang
begitu mesra dengan ayahnya. Hatinya sedikit tersentuh.
“Hurrmm….betul tu. Masa pakcik
membuka kampung ni, pakcik berumur 23 tahun. Pakcik merantau dari Sabah ke
sini. Dulu kampung ni, hutan banat. Sekarang ni, barulah ada jalan raya, klinik
desa, elektrik, air. Dulu kalau kami nak mandi, kami mandi kat Kuala Sungai tu
aje. Itu pun kena hati-hati, sebab ada buaya.” Maklum Aminuddin yang semakin
suka berbual dengan anak muda yang langsung tidak sombong ini.
Sampai ke Hospital Taiping,
Khaliff tidak meninggalkan mereka sebaliknya Khaliff menemani Dania dan
Aminuddin mengambil ubat dan bertemu doktor. Dania sedang menunggu ayahnya yang
sedang menjalani fisioterapi berbual-bual dengan Khaliff yang duduk
disebelahnya.
“Encik tak ada kerja ke?
Menyusahkan encik je. Saya dan ayah saya, boleh je baik naik teksi bila balik
nanti.” Beritahu Dania yang sopan memakai baju kurung cotton warna pink dan
menyarung tudung berwarna sama.
“Hurmm…saya sebenarnya tak ada kerja pun.
Kebetulan, saya saja je nak keluar tadi. Awak janganlah risau, saya okey je.
Tak kisah pun. Awak boleh tak jangan panggil saya encik? Panggil je saya ni,
abang Khaliff.” Dania segan mendengarnya.
Kadang-kadang muncul dibenaknya juga, kenapa
Khaliff baik dengan dia dan ayahnya? Tapi, wajah Khaliff yang jernih itu
membuatkan Dania tidak menaruh sebarang syak wasangka.
“Iyalah, errr…abang Khaliff.
Maaflah menyusahkan abang Khaliff.”
“No hal. Err, Nia ambil STPM ye
tahun ni? Jurusan apa?”
“Nia ambil bidang sastera.”
“Oh…bakal sasterawati Negara
lah ni…” Dania tersenyum mendengarnya.
“Ishhh, mana ada. Nia
biasa-biasa jelah.”
Khaliff membalas senyum itu.
Pesona Dania semakin menyelesakan Khaliff untuk terus berada disisi gadis itu.
Semakin dia mengenali Dania, semakin dia rasa kagum dan dekat dihati.
“Hurmm, abang rasa selesa kenal
dengan Nia. Err…boleh tak, kalau abang nak kenal dengan dia, dengan lebih rapat
lagi?” Tanya Khaliff.
Dania terkedu mendengarnya.
“Rapat? Err, rapat macam mana
tu? Adik angkat, abang angkat ke?” Tanya Dania dengan lurus bendulnya. Khaliff
tergelak.
“Nia ni, tak takut ke, kalau
beradik abang angkat, kang terangkat sekali, macam mana?” Dania mengaru
kepalanya. Tidak faham.
“Abang Khaliff cakap apa ya?
Nia tak jelas…” Dania tersenyum tawar. Wajah Khaliff direnungnya.
Khaliff tergelak. “Okeylah, abang berterus-terang
saja. Abang sukakan Nia. Kalau boleh, abang nak kita kenal lebih mendalam.
Abang harap Nia terima abang. Abang ikhlas…” Dania terkejut mendengarnya.
“Mak….maksudnya?” Khaliff hanya tersenyum
melihat Dania yang sudah mengelabah itu.
Dania tersentak apabila ayahnya
disorong keluar oleh doktor. Perbualan mereka terhenti di situ sahaja. Setelah
mengambil ubat, Khaliff membawa Dania dan ayahnya makan tengah hari di Hotel
Seri Malaysia. Dania begitu tersentuh dengan layanan lelaki itu pada ayahnya.
Ayahnya pula begitu ramah dan mesra dengan Khaliff. Sampai di rumah, Dania dan
Aminuddin mengucapkan terima kasih pada Khaliff.
“Tak apa pakcik. Saya dah
anggap pakcik, macam ayah kandung saya sendiri. Saya sebenarnya kagum dengan
ketabahan Dania dan sikap bertanggungjawab dia sebagai anak. Dalam usia yang
muda, dia menghadapi segala dugaan hidupnya dengan matang dan kuat semangat.
Banyak hal yang saya belajar dari Dania, pakcik.” Maklum Khaliff.
Dania tersentuh hati
mendengarnya. Dia sebenarnya tidak kuat menempuhi dugaan ini. Hampir setiap
malam dia menangis, namun demi ayahnya, dia menguatkan semangat. Dia sanggup
melupakan cita-citanya demi ayahnya.
“Hurmm….pakcik sebenarnya
inginkan yang terbaik untuk Nia. Dia masih muda lagi. Perjalanan dia masih
panjang. Pakcik kecewa juga, bila dia sanggup tolak tawaran ke matrikulasi
semata-mata nak jaga pakcik yang sakit ni. Pakcik kalau boleh nak dia belajar
tinggi-tinggi. Dia tu bekas pelajar terbaik sekolah. Tapi entahlah…bila keadaan
jadi macam ni, susah.” Aminuddin membalasnya dengan suara lirih.
“Ayah, ayah janganlah cakap
macam tu. Pasal Nia ayah janganlah fikir ya? Nia tak ada masalah. Nia bahagia
dengan apa yang Nia buat. Dah menjadi tanggungjawab setiap anak, untuk berbakti
pada orang tuanya.” Dania mengelus bahu ayahnya lembut.
Mata dua beranak itu saling
bertaut.
“Pakcik bertuah memiliki anak
sebaik Nia. Itu yang buat saya tertarik nak kenal dengan Dania. Err, pakcik
saya balik dulu ya? Pakcik baik-baik ya? Jangan lupa makan ubat, jaga kesihatan
ya…” Khaliff meminta diri.
“Err, Khaliff singgahlah dulu.”
“Sebenarnya saya baru dapat call dari supplier, ada barang baru sampai kat tapak pembinaan. Insha-Allah
pakcik, saya akan datang lagi ya lawat pakcik. Saya pergi dulu ya,
assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam, baik-baik
nak. Kalau ada kelapangan, datanglah ya.” Khaliff mengangguk dan sempat
melontar pandang pada Dania.
“Abang balik dulu ya Nia? Jaga
ayah baik-baik.” Dania mengangguk.
Khaliff masuk dalam perut
kereta dan berlalu. Dania dan Aminuddin yang masih berada di luar rumah melihat
kereta Khaliff pergi hingga hilang dari pandangan. Budin yang sejak dari tadi
berdiri di tepi tiang rumah mereka memerhati tajam dua beranak itu. Dia
melangkah menghampiri Dania dan ayahnya.
“Amboi, pakcik! Bukan main lagi rapat pakcik
dengan mamat Bandar tu?” Tanya Budin, sinis.
Aminuddin dan Dania berpaling
pada Budin. Salam pun tidak diberi, tiba-tiba marah tidak tentu pasal.
“Budin, kamu rupanya. Bila kamu
sampai?” Tanya Aminuddin yang tidak selesa denga kehadiran anak muda ini.
Sudah beberapa kali Budin
berpesan padanya agar Dania menjadi isteri dia dan tidak diberikan pada lelaki
lain. “Dah lama. Hurmm, pergi mana berjemput menghantar dengan mamat Bandar
tu?” Tanya Budin kasar.
Dania mengelengkan kepalanya.
Tidak suka dengan sikap kurang ajar lelaki ini pada ayahnya. Dania menjawab.
“Encik Khaliff tu, tumpangkan
kami ke hospital tadi. Kebetulan teksi tak ada lalu lalang. Yang abang Budin
sibuk sangat ni kenapa?” Marah Dania.
“Abang bukannya apa, mamat tu tetiba baik
pula. Tentu ada niat jahat. Ingat Nia, jangan termakan budi sampai tergadai body pula.” Tegur Budin sinis.
“Abang Budin, Nia dah biasa berdikari. Nia
tahu jaga diri. Abang Budin tak payah sibuk nak ambil tahu pasal Nia boleh
tak?” Balas Dania, geram.
“Hei, abang kena ambil tahu juga. Nia tu bakal
isteri abang tak lama lagi. Hah pakcik, macam mana pinangan saya minggu lepas?
Saya tak nak tunggu lama-lama lagi. Saya nak kahwin dengan Nia.” Maklum Budin.
Dania terkedu mendengarnya. Kahwin dengan
Budin? “Apa? Kahwin dengan abang Budin? Apa abang merepek ni? Nia tak nak
kahwin lah. Nia muda lagi. Ayah, apa ni? Ayah tak cakap kat Nia pun?” Wajah
ayahnya ditatap.
Aminuddin tenang menghadapi Budin. “Budin,
pakcik dah cakap, anak pakcik ni muda lagi. Dia nak belajar lagi. Nak kejar
cita-cita dia. Lagipun, kamu tu tak ada kerja lagi. Belum layak nak jadi suami
orang.”
“Alah pakcik, saya tahulah apa yang saya buat.
Pakcik tak payah nak mengajar saya pulak. Buat apa nak letak hantaran
mahal-mahal. Perempuan yang baik, murah je wang hantaran dia. Yang penting
nikah. Pakcik walikan kami. Saya dah lama pesan kat pakcik, Nia ni milik saya.
Tapi pakcik degil. Pakcik ingat saya tak tahu ke, pakcik memang ada niat nak
bagi Dania pada mamat Bandar tu kan? Hah, eloklah tu…entah-entah kaki penipu.
Dijualnya Dania nanti kat sindiket pelacuran kat Kuala Lumpur.” Budin menabur
fitnah dan lantang mengemukakan hujahnya.
“Astafirallahalazim, Budin. Tak
baik kamu menuduh orang macam tu. Boleh jatuh fitnah, berdosa besar Budin.
Pakcik belum terfikir lagi, nak kahwinkan anak pakcik. Dengan siapa-siapa pun.
Nia masih muda lagi…” jawab Aminuddin lembut.
Budin tergelak sinis mendengarnya.
“Pakcik jangan ingat saya bodoh, pakcik. Pakcik memang bercadang nak kahwinkan
Nia dengan mamat Bandar tu. Saya tahulah, mamat Bandar tu pun memang ada hati
pada Nia. Ingat pakcik, saya minta elok-elok pakcik tak bagi, pakcik sombong ya
dengan saya. Saya hanya nak Dania. Jadi saya akan dapatkan dia walaupun apa
cara sekalipun. Faham?” Tengking Budin yang sempat meludah ke tanah kemudian
berlalu.
Dania mengelengkan kepalanya.
Kurang ajar. Tak ingin aku lelaki macam kau ni, tak tahu hormat orang tua
langsung. Aminuddin berasa tidak sedap hati.
“Biarlah dia ayah. Kurang ajar,
dia ingat dia siapa agaknya. Orang tak nak, nak dipaksa-paksa. Ingat kita anak
ayam ke, apa?” Marah Dania.
Aminuddin mengusap tangan
anaknya yang singgah atas bahunya lembut.
“Hurmm, apapun Nia kena
hati-hati. Lelaki macam Budin ni, sanggup buat apa saja, asalkan hati dia puas.
Ayah risaukan keselamatan Nia.”
“Ayah, ayah jangan risau ya? Pandailah Nia
jaga diri. Kita mohon perlindungan Allah ya, ayah.Allah selalu ada untuk kita.”
Aminuddin mengangguk dan tersenyum lega.
Wajah anaknya ditatap
dalam-dalam. Aminuddin melepaskan keluhan yang berat. Berat mata yang memandang
berat lagi bahu yang memikul. Sedih memikirkan nasib anaknya ini.
“Nia. Ayah ni dah tua,
bila-bila masa ajal akan datang menjemput ayah.Ayah sentiasa mendoakan
kebahagiaan dan keselamatan Nia. Berjanji dengan ayah, walau apa pun yang akan
terjadi selepas ni, Nia bersabar ya? Jangan berputus asa dari rahmat Allah.
Teruskan kejar cita-cita Nia sampai Nia berjaya, ayah sayang Nia!!” Aminuddin
mengelus lengan Dania.
Dania yang mendengar berasa tidak sedap hati
kerana tiba-tiba sahaja kata-kata ayahnya bermain dengan emosi. Hatinya begitu
terusik.
“Ayah ni kenapa cakap macam tu?
Nia sayang ayah tau. Nia dah tak ada siapa-siapa lagi. Nia cuma ada ayah je
dalam hidup Nia. Ayah tak kesiankan Nia….Ayah janganlah pergi tinggalkan Nia.”
Dania sebak.
Matanya mula memberat. Aminuddin mengelus bahu
Dania yang duduk dihadapannya. Wajah anaknya itu ditatap sayang. Kecantikan
Dania persis arwah isterinya. Rindunya dia pada arwah isterinya. Kenangan saat
bersama tertayang di ruang mata.
“Nia. Kalau nak diikutkan hati,
ayah memang tak nak tinggalkan anak ayah ni. Tapi, perancangan Allah kita tak
tahu. Ayah akan selalu mendoakan kebahagiaan Nia ya? Insha-Allah semuanya
baik-baik saja. Nia mesti tabah menerima dugaan hidup. Allah uji Nia, sebab
Allah sayang Nia.” Aminuddin memujuk anaknya itu.
Entah mengapa, dia rasa tidak
sedap hati. Dania mengangguk lemah. Dania tidak sanggup menghadapi satu lagi
kehilangan. Cukuplah dia kehilangan arwah emaknya.
BAB 4
“Assalamualaikum…”
Aminuddin tersentak. Ucapan salam dari luar rumah menghentikan kerja-kerja
meracip buluh untuk dijadikan sangkar burung. Aminuddin mengesot perlahan ke
pintu. Rupa-rupanya Khaliff yang datang.
“Waalaikumussalam. Khaliff
rupanya. Masuk nak… masuklah…” Khaliff tersenyum dan mengangguk. Beg plastik
yang mengandungi barang-barang dapur dibawanya masuk.
“Ni ada sedikit barang untuk
pakcik.” Hulur Khaliff. Aminuddin tersentuh mendengarnya.
“Lah, buat susah-susah je. Kamu datang melawat
pakcik pun, pakcik dah cukup berbesar hati. Terima kasih lah, nak. Duduklah.
Macam nilah, orang susah. Duduk atas tikar mengkuang je. Nia tak ada ni,
tinggal pakcik sorang-sorang kat rumah.” Aminuddin menerima pemberian itu
dengan senang hati.
Khaliff mengangguk faham. “Oh,
tadi saya ternampak Nia kat simpang sana. Saya tegur dia, katanya dia ke kedai
sebentar. Hurmm, cantiknya sangkar burung ni pakcik. Pakcik ke, yang
membuatnya?” Tanya Khaliff yang ralit membelek sangkar burung yang telah siap
dengan penuh minat.
Aminuddin tersenyum
mendengarnya. “Ahah, saja suka-suka. Jemu juga asyik duduk je, tak buat apa-apa
kerja.” Balas Aminuddin.
“Pakcik ni berbakat besar.
Buatlah banyak-banyak pakcik, boleh jual ni kalau sangkar burung secantik ini.”
Puji Khaliff.
“Iya ke? Hurmm….pakcik rasa
biasa jelah. Kamu berkenan ke? Kalau berkenan, nah! Ambilah, pakcik hadiahkan
untuk kamu.” Aminuddin menghulurkan sangkar burung yang sudah pun siap.
Khaliff gembira mendengarnya.
“Betul ke, pakcik bagi pada saya ni? Wah, terima kasih pakcik. Saya bayar
pakcik ya? Penat-penat pakcik buat ni..”
“Tak perlu. Pakcik memang nak
bagi pada kamu. Ambillah…” Khaliff tersenyum senang.
Dia memerhatikan rumah batu
setingkat yang kemas, tersusun dan bersih walaupun tidak dihiasi perabut yang
mahal. Hanya ada sebuah televisyen dan tikar mengkuang sahaja.
“Terima kasih pakcik. Gembira
saya dapat kenal dengan pakcik. Hujung minggu ni, saya dah nak balik KL. Projek
resort saya dah hampir selesai. Saya
rasa berat hati sangat nak tinggalkan kampung ni. Terutamanya nasi lemak Dania
yang sedap tu. Belum pernah saya makan nasi lemak sesedap yang Dania masak.”
Cerita Khaliff mengundang senyum penuh makna Aminuddin.
Hurrmm…anak muda masakan bisa
menyembunyikan gelora hati dari orang berpengalaman sepertinya? Mudah sahaja
Aminuddin membacanya.
“Kenapa perlu rasa berat hati?”
“Entahlah pakcik. Err, saya
rasa macam tenang je, tinggal di kampung ni. Itu yang rasa sayang nak
tinggalkan.” Khaliff cuba menyembunyikan isi hatinya.
Semakin hari, hatinya semakin
terpikat pada Dania. Setiap pagi, dia akan memborong Nasi Lemak Dania. Hubungan
mereka pun semakin mesra.
“Sayang nak tinggalkan kampung
atau sayang nak tinggalkan seseorang dalam kampung ni?” Khaliff tersentak
mendengarnya.
Ayah Dania seakan dapat membaca
isi hatinya.
“Errr, ermmm, boleh jadi juga
pakcik.” Khaliff menunduk segan.
Dia tersenyum. “Pakcik pernah
muda, nak. Kamu sukakan anak pakcik, Dania kan?” Aminuddin meneka. Khaliff
tergamam mendengarnya.
“Err, mana pakcik tahu? Aduhai, segan saya
macam ni. Tapi, saya ikhlas pakcik.” Aminuddin mengangguk faham.
“Pakcik tahu. Tapi Nia tu masih
muda lagi.” Maklum Aminuddin. Besar harapannya ingin melihat Dania berjaya
dalam pelajarannya.
“Saya tahu pakcik. Dania masih
muda. Sebab tu saya pendamkan saja perasaan saya. Soal jodoh tu, saya boleh
letak ke tepi dulu. Kalau boleh, saya nak bantu Dania melanjutkan pelajarannya
nanti. Syarikat saya, boleh menaja pengajian Dania. Itu adalah salah satu cara
kami menyumbang pada orang yang memerlukan. Itu yang saya nak bincangkan dengan
pakcik.” Terang Khaliff, sopan.
Aminuddin semakin berkenan
dengan sikap lelaki ini.
“Iya ke nak? Pakcik kalau
boleh, nak sangat Dania belajar tinggi-tinggi. Masuk universiti. Dapat kerja
yang baik-baik yang menjamin masa depan dia. Bukannya duduk terperuk di
kampung, menjual nasi lemak saja sampai ke tua. ” Khaliff mengangguk.
“Pakcik jangan risau, saya akan membantu Nia
ya? Saya juga akan pastikan pakcik akan mendapat rawatan dari doktor pakar.
Saya nak pakcik kembali sihat.”
Aminuddin tersentuh mendengarnya. Mulia
sungguh hati budi lelaki ini.
“Nak, soal pakcik tak perlulah
kamu bersusah payah. Pakcik redha atas segalanya. Yang pakcik risaukan sekarang
ni, adalah masa depan Dania. Pakcik ni dah tua, bila-bila masa akan dijemput
Allah. Pakcik cuma fikirkan Dania, bila pakcik tak ada nanti. Pakcik tak
sanggup tengok masa depan Dania, musnah begitu sahaja. Entahlah, dua tiga hari
ni pakcik rasa tak sedap hati. Rasa macam sesuatu yang buruk akan berlaku.”
Aminuddin memegang dadanya yang sudah mengundang batuk.
Khaliff turut sama mengosok dada Aminuddin.
“Pakcik okey?” Segelas air
masak dihulurkan pada Aminuddin. Segera diteguknya. Lega rasa tekak. Khaliff
menyambung kata.
“Pakcik janganlah fikir yang
bukan-bukan. Ingat Allah. Insha-Allah tak ada apa yang akan berlaku. Semuanya
akan baik-baik saja. Percayalah…” Khaliff memujuk.
“Entahlah nak, macam-macam yang
pakcik fikirkan. Hmmm… Nak, pakcik tahu, kamu sukakan Dania kan? Pakcik
sebenarnya dah tak ada siapa-siapa lagi untuk pakcik harapkan. Pertama kali
pakcik pandang muka kamu, pakcik dapat rasakan, kamu ni adalah lelaki yang
dikirimkan Allah untuk membantu pakcik menjaga Dania. Boleh tak berjanji dengan
pakcik, kalau apa-apa terjadi pada pakcik, tolong jagakan Dania baik-baik ya?
Kami dah tak ada saudara yang lain…” lirih sekali suara Aminuddin membuatkan
Khaliff terusik hatinya.
“Baiklah pakcik. Pakcik jangan risau ya. Saya
janji, saya akan jaga Nia baik-baik. Amanah pakcik, tak kan saya sia-siakan.”
Khaliff mengenggam erat tangan Aminuddin.
“Eh, mana Dania ni? Katanya
sekejap je, keluar ke kedai? Kenapa pakcik rasa berdebar-debar ni? Khaliff,
pakcik rasa macam ada yang tak kena je ni? Ya Allah, minta-minta tiada yang
buruk akan berlaku.” Aminuddin dilanda kerisauan memikirkan anak gadisnya itu.
“Iya ke pakcik? Kalau macam tu, biar saya
pergi tengokkan Dania. Saya pergi dulu ya pakcik…”
Dania
turun dari basikalnya kerana tayar sudah pancit. Dia berdecit geram. Masam
mencuka mukanya. Sudah lewat petang, rumahnya pula satu kilometer lagi.
“Hai sayang!” Tegur Budin tersengih-sengih.
Sejak dari tadi, dia
memerhatikan Dania dari kedai Pak Seman lagi. Sengaja dia meletakkan paku
berdekatan tayar basikal Dania. Dania tersentak lalu tidak menghiraukan lelaki
yang baru turun dari motosikal Honda EX5 nya itu.
“Kenapa ni? Masam je dengan abang? Marah ke?”
Dania menolak basikalnya. Dia mahu segera meninggalkan tempat itu.
Sunyi semacam ler pula. Seram.
Basikal Dania dipegang Budin. Tidak terdaya menolak lagi kerana tenaga lelaki
itu melebihi tenaga Dania.
“Apa ni? Jangan ganggu orang
boleh tak? Nia nak balik ni, dah lewat.” Marah Dania.
Budin tersenyum sinis. “Sombong
ya Nia dengan abang sekarang sejak ada mamat Bandar tu? Nia memang ada hubungan
dengan mamat tu kan? Sampai lupakan abang, sebelah mata pun tak pandang abang.
Ingat abang tak tahu, mamat Bandar tu selalu datang rumah Nia kan?” Tengking
Budin membuatkan Dania terhenjut bahu.
“Apa abang cakap ni? Sejak bila
pula kita ada hubungan? Nia tak pernah cakap apa-apa pun kat abang Budin. Boleh
tak jangan nak merepek? Dah la, Nia nak balik. Boleh tak, jangan menyibuk hal
Nia?” Dania cuba menolak basikalnya, namun Budin menarik basikal itu dan
mencampakkannya dalam semak.
“Abang Budin? Apa ni?” Marah
Dania. Budin menarik tangan Dania dan merangkul kasar dagu gadis itu.
“Auchhh, sakitnya. Apa ni
abang? Lepaskan Nia…” Budin mendekatkan mukanya ke muka Dania.
“Nia dengar sini. Nia hanya
milik abang. Tak ada sesiapapun boleh memiliki Nia. Kalau abang tak dapat Nia,
tak ada sesiapapun boleh dapat Nia. Abang sanggup tengok Nia mati, dari lihat
Nia jatuh ke tangan lelaki lain.” Tengking Budin dengan hati yang sakit.
Cemburunya meluap-luap melihat
Dania begitu mesra disamping mamat Bandar itu. Dania kecut perut mendengarnya.
Air liur yang ditelan terasa kesat.
“Ni….Nia… Ni…Nia…tak…tak ada hu…hubungan
apa-apa dengan Encik Khaliff tu…” Dagu Dania dicengkam kasar.
Tubuh gadis itu dirangkul. Mata
Dania ditenung tajam. Dania meronta-ronta. Cuba meleraikan pelukan yang erat
itu.
“Abang nak Nia jadi milik
abang. Orang tua nak mampus tu, tak lama lagi akan melutut di kaki abang,
merayu-rayu suruh abang kahwin dengan Nia. Dia berlagak sangat kan?” Budin yang
penuh dendam cuba mengapa-apakan Dania.
Dania yang mendengarnya
bertambah panik. Cuba melepaskan diri.
“Apa abang Budin nak buat ni?
Lepaskan Nia! Tolonglah lepaskan Nia!
Tolong…….tolong……….” Jerit Dania.
Namun mulutnya ditutup. Dania diseret ke dalam
semak. ‘Ya Allah, tolonglah hambaMU yang tidak berdaya ini….Ya Allah…Tiada daya
dan kekuatan, melainkan dengan pertolonganMu.’ Dania berdoa dengan deraian air
mata ketakutan.
Buk!
Satu tumbukan tepat mengena
muka Budin. Dania membukakan matanya. Khaliff! Khaliff datang menyelamatkan
dia. Syukur alhamdullilah, tepat pada masanya pertolongan tiba. Khaliff terus
menumbuk dan memukul Budin bertalu-talu.
Namun Budin berjaya meloloskan
diri dan hilang dalam semak. “Tak guna, jantan dayus!” Marah Khaliff dengan
muka merah padam.
Mujurlah dia tiba sebelum
segala-galanya sudah terlambat. Dania yang menangis ketakutan itu didekatinya.
“Nia tak apa-apa?” Dania mengangguk dalam
tangisannya.
“Kita pergi balai polis. Buat laporan.” Dania
mengelengkan kepalanya.
“Nia tak nak, Nia takut…” Dania
mengeletar ketakutan. Fobia atas segala yang berlaku. Dia benar-benar tidak
menyangka Budin akan berkelakuan sejahat ini.
“Negara kita ada undang-undang. Nia jangan
takut. Kalau Nia diamkan diri, selepas ni dia akan buat lagi. Kali ni Nia
selamat, tapi lain kali, macam mana? Abang bukannya selalu ada dengan Nia, nak
selamatkan Nia?” Dania berfikir sejenak.
Betul juga kata Khaliff.
“Baiklah. Tapi abang janji dengan Nia, jangan beritahu ayah ya? Nia tak nak
ayah risau… ayah kan tak berapa sihat. Janji ya abang?” Pinta Dania.
Khaliff mengangguk. Dania,
Dania…dalam keadaan begini pun, dia masih memikirkan keadaan ayahnya itu.
Dania mengayuhkan basikalnya selaju yang mungkin
untuk sampai ke rumah. Selepas jualan nasi lemaknya habis awal tadi, dia terus
ke pasar untuk membeli barang-barang basah kemudian ke pejabat pos untuk
membayar bil elektrik dan bil air. Ramai betul orang di pejabat pos tadi,
membazir hampir dua jam di situ.
Sudah hampir dua minggu Khaliff
memborong nasi lemak Dania. Wajib seratus bungkus setiap hari. Ramai yang
merungut-rungut kerana sudah beberapa hari tidak dapat makan nasi lemaknya
kerana kehabisan. Pernah juga suatu pagi tu, hujan turun dengan lebatnya.
Jualan nasi lemak agak merosot pagi itu. Boleh pula Khaliff ni datang memborong
semuanya. Rasanya hampir-hampir 250 bungkus. 'Kadang-kadang pelik memikirkan
pelanggan aku yang sorang tu, terlebih suka benar membeli nasi lemak aku ni!
Dah tahap kronik sangat, katanya sudah ketagih. Hishh, ingat aku ni jual air
ketum ke? Tiap kali dia datang, suka tenung muka aku lama-lama. Sampai aku ni
dah perasan, tapi belum sampai ke tahap syok sendiri.
Dania akui sejak kejadian
semalam, hubungan dia dan Khaliff semakin rapat. Sekarang ini polis sedang
mencari Budin untuk memberkas lelaki itu. Tidak menyangka, lelaki itu berdendam
kerana pinangan ditolak. Disebabkan bimbang akan keselamatan Dania, Khaliff
telah menghadiahkan sebuah telefon bimbit untuk dia. Katanya, senang untuk dia
menghubungi Dania kalau ada apa-apa kecemasan atau masalah. Dania akui, dia
selesa mengenali Khaliff. Lelaki itu baik dan ikhlas. Hubungan Khaliff dengan
ayahnya juga mesra dan rapat. Dania lebih selesa berkawan. ‘Lagipun sekarang
bukan masanya untuk aku memikirkan soal lelaki. Banyak benda lagi aku kena
fikir dan ayah adalah keutamaan aku sekarang.
Aku nak kumpul duit banyak-banyak, nak rawat
kaki ayah sampai sembuh. Alhamdullilah, dalam minggu ini sahaja aku dapat
simpan RM1000. Ingat jual nasi lemak, tak boleh cari makan ke? Kalau laku,
memang boleh buat duit tau!’ Dalam kesungguhan Dania mengayuh basikalnya
tiba-tiba sahaja sebuah kereta mewah dipandu dengan begitu laju melewati Dania.
Kelajuan yang sangat menakutkan.
“Hisyy, apalah orang ni bawa
kereta laju gila. Tak takut accident
ke? Nak mati kot agaknya?” Sebaik sahaja menghabiskan katanya, tidak
semena-mena kereta yang laju tadi hilang kawalan, merempuh pokok besar di tepi
jalan.
Kedebummmmmm!!!!!! Berdentum
bunyinya! Dania terlopong dan terkesima melihatnya. Mata dikerdipnya berulang
kali. ‘Ya Allah, masinnya mulut aku! Aku sedang menyaksikan secara langsung,
kemalangan depan mata aku. Biar betul?….’ Dania menelan air liurnya.
Dia memerhati sekitarnya. Tiada kereta mahupun
motosikal yang melewati jalan. Air liur ditelan kesat. Ya Allah, apa aku nak
buat ni? Dania meluru ke arah kereta itu dan segera dia menunduk untuk melihat
mangsa kemalangan dalam kereta. Kereta itu remuk teruk di bahagian hadapan
kerana menghentam pokok besar itu. Kelihatan sepasang suami isteri bermandian
darah terperosok di dalam kereta itu. Dania menekup mulutnya kerana terlalu
terkejut.
“Err....encik....encik!!”
Panggil Dania dengan kuatnya. Sambil itu matanya meliar mencari kelibat manusia
disekitar tempat kejadian.
“Ya Allah....apa aku nak buat
ni? Tolong.....!!! Tolong!!!!” Dania menjerit meminta pertolongan. Tiba-tiba
dia terbau sesuatu, petrol kereta mula tumpah atas jalan. Dania memegang
kepalanya, Ya Allah! Janganlah kereta ini terbakar pula kat sini.
“Encik,...encik....” Panggil
Dania. Lelaki itu bergerak sedikit begitu juga pasangannya.
“To....tolong...kami
nak....”pinta lelaki itu dengan nada suara yang lemah. Dania bertambah panik
mendengarnya. Kepalanya digaru. Aduhai, apa yang aku nak buat ni?
“Encik, encik kena keluar
cepat-cepat dari kereta ni. Petrol dah tumpah. Saya bimbang kalau-kalau kereta
kebakaran je…” Dania cuba membuka pintu.
Berkali-kali. Lelaki yang
sebaya ayahnya membuka central Lock.
Akhirnya pintu berjaya di buka. Dania memapah pakcik yang cedera di lengan dan
kakinya perlahan-lahan keluar dari kereta itu.
“Arghhhhhh….Ya Allah
sakitnya….” Pakcik itu menjerit kesakitan.
“Sabar ya pakcik…Ingat Allah.
Istighfar..” Dania mendudukkan pakcik itu agak jauh dari kereta tersebut.
“Tolong, selamatkan isteri
saya…tolong…” Dania mengangguk dan segera berlari ke arah kereta. Dania
berhati-hati menarik keluar isteri pakcik tersebut yang cedera di kepalanya.
Kedengaran suaranya mengaduh sakit. Mujurlah mangsa tidak tersepit. Di papahnya
makcik tersebut.
Berat gila badan makcik ni, namun digagahi
juga.
“Sabar ya makcik......” sempat
lagi Dania turut sama berkongsi sakit itu. Namun Dania panik apabila makcik itu
melurut jatuh tidak sedar diri. Dia sedaya upaya memapah makcik tersebut.
“Makcik…Makcik!” Pipi makcik
tersebut ditepuk berulang kali namun tiada tindak balas. Darah di kepala
membasahi tudungnya. Percikan api mula kelihatan di kereta tersebut kemudian
api menjadi besar, menjilat rakus keseluruhan kereta tersebut.
Dania menarik nafas lega. Mujurlah mangsa
sempat diselamatkan oleh Dania.
“ Pakcik tunggu di sini ya?
Saya pergi dapatkan bantuan...” Dania segera berlari ke arah basikalnya lalu
mengayuh basikal selaju yang boleh menuju ke telefon awam yang terletak di
hujung jalan sana.
Dalam kecemasan begini, boleh
pula tiada satu kenderaan pun lalu lalang. Tidak dinafikan jalan Kemboja yang
menghala ke arah laut itu, agak sunyi sepi. Dania tiba di pondok telefon.
Ganggang segera diangkat. Namun, dia benar-benar kecewa dan marah apabila telefon
itu rosak dan tidak dapat digunakan. Aduhai, time-time macam ni rosak pula. Apa aku nak buat ni? Pergi minta
bantuan orang lah! Dalam kekalutan Dania mencari bantuan, kereta milik Khaliff
berhenti disisinya.
“Dania, kenapa ni? Awak nampak cemas sangat
ni? Ya Allah, darah! Kenapa dengan awak ni? Jatuh basikal ke? Mari saya bawa
awak ke hospital...” Khaliff menarik lengan Dania dengan segera.
Risau betul dia akan
keselamatan Dania. Dania segera menahan sambil menarik nafas yang
tercungap-cungap keletihan. Dania hanya mampu mengelengkan kepalanya dulu.
“Bukan darah Nia, tapi ada
orang kemalangan kat hujung jalan sana tu. Mangsa cedera parah, keretanya
langgar pokok dan terbakar. Nia tengok depan mata Nia sendiri.
Kebetulan tak ada siapa pula
yang lalu lalang. Phone ni rosak, Nia
tak tahu nak buat apa ni? Tolong abang Khaliff, Nia buntu!!” Dania mengurut
dadanya berulang kali kerana keletihan.
Khaliff terkejut besar mendengarnya.
“Ya Allah, jom kita ke sana
sekarang. Basikal ni, Nia letak dulu kat sini. Mari naik kereta abang! Abang call ambulans sekarang!” Sampai ke
tempat kemalangan, Khaliff berganda terkejut dan cemas.
Rupa-rupanya ummi dan babahnya
yang menjadi mangsa kemalangan itu. Mengucap panjang Khaliff. Terus bergegas
membawa mereka untuk mendapatkan rawatan dengan segera.
BERSAMBUNG... ;D (NANTIKAN GAY ITU SUAMI AKU KE VERSI CETAK INSYA-ALLAH BLN OKTOBER INI)
No comments:
Post a Comment