BAB 1 (Oleh Mia Kiff)
Aminuddin mengelengkan
kepalanya. Kesal dengan sikap Budin, anak muda kampungnya yang kurang ajar dan
tidak menghormati orang tua sepertinya. Inginkan anaknya, tapi memintanya
secara paksa dan tidak beradab. Mentang-mentang dia lumpuh dan dia pula orang
susah, maruahnya bagaikan dipijak-pijak sahaja.
“Budin, pakcik minta maaf.
Pakcik tak dapat tunaikan permintaan kamu tu. Dania masih muda lagi. Belum
sesuai nak jadi isteri orang. Kamu carilah perempuan lain yang lebih layak
untuk kamu.” Aminuddin menerangkan dengan baik-baik agar Budin mengerti.
Hari ini lelaki itu datang lagi ke rumahnya
bertanya akan hajatnya ingin memperisterikan Dania. Budin tersenyum sinis.
Hatinya mula panas. Sudah masuk lima kali lamarannya ditolak. Tapi, disebabkan
dia memang muka tidak tahu malu, dia kembali semula menyatakan hajatnya. Susah
betul orang tua ini memberi persetujuan.
“Apa masalahnya pakcik kalau
Dania tu muda? Dia pandai masak, rajin cari duit. Kerja-kerja rumah semua dia
pandai. Pakcik jangan nak kedekut anak pakcik tu sangat sementara masih ada
orang hensem macam saya ni, teringinkan anak pakcik tu. Saya ni, dah tak boleh
tahan perasaan. Siang malam berangankan Dania tu. Saya tak mahu Dania tu
terlepas ke tangan orang lain. Pakcik tak kan jumpa dah, lelaki yang jujur
mencintai anak pakcik macam saya ni. Demi cinta ini, saya sanggup berkuak
lentang meredah lautan api. Pakcik nak yang macam mana lagi? Dok tunggu apa
lagi?” Budin mula menengking, tidak berpuas hati.
Aminuddin habis ayat. Budin tidak pernah faham
bahasa. Masakan dia mahu menyerahkan anaknya pada lelaki yang tiada masa depan
seperti Budin? Menganggur, suka berjudi, suka tikam nombor ekor dan melepak
sana sini. Dengar kata Budin juga mencuri dan melakukan jenayah pecah rumah.
Cuma polis belum cukup bukti untuk memberkasnya.
“Budin, pakcik minta maaf.
Pakcik kalau boleh nak Dania sambung belajar lagi. Capai cita-cita dia dulu,”
Budin merenung tajam. ‘Orang tua ni kan bagus kalau dia mampus saja dengan bini
dia dulu, senang aku nak dapatkan Dania. Tak sedar diri itu cacat, tak boleh
berjalan, menyusahkan orang saja.’ Maki Budin dalam hati.
“Baiklah. Untuk hari ni, saya
cuba faham. Tapi kalau esok saya tak tahan perasaan saya, saya datang lagi.
Apa-apapun pakcik ingat. Dania hanya milik saya. Jangan sesekali pakcik, beri
dia pada lelaki lain. Okey, saya akan tunggu Dania. Saya akan tunggu sampai
dapat. Ingat pakcik, Dania hak saya. Milik saya. Kalau saya tak dapat dia, saya
akan pastikan tiada seorang pun, yang akan dapat dia. Faham?” Ugut Budin
kemudian berlalu.
Aminuddin mengelengkan kepalanya. Dia tetap
bimbang akan keselamatan anak gadisnya. Budin bukan calang-calang orang. Buat
jahat sudah menjadi rutin dalam hidupnya. Dia hanya mampu berdoa, agar Allah
jauhkan dia dan Dania dari musibah dan dengki khianat manusia. Sinar mentari
mula memancar di ufuk timur, kedinginan pagi kian menghilang.
Khaliff menghirup udara segar
di Kampung Seri Menanti yang terletak dipinggir pantai yang indah. Sungguh
indah dan permai suasana di desa berbanding kesibukan kota yang dinodai dek
pencemaran-pencemaran alam. Kedatangannya ke sini ingin melawat tapak projek
pembinaan resort oleh syarikatnya di sini. Alhamdullilah segala-galanya
berjalan dengan lancar. Hampir 50% kerja-kerja pembinaan sedang giat
dijalankan.
"Assalamualaikum En.
Khaliff! Awal pagi ni?" Laung Pak Samad, pengawal keselamatan yang
bertugas di pintu masuk tapak projek ini.
"Waalaikumussalam. Tak
adalah awal, dah pukul 8.30 pun. Pak Samad bertugas shiff pagi ke minggu
ni?"Soal Khaliff dengan ramah. "Ahah, Pak Samad shiff pagi. Malamnya
Sameon dengan Ismail yang bertugas. Er, En. Khaliff ni.....Pak Samad ada
belikan nasi lemak lebih. Kita sarapan sama-sama. Air pun Pak Samad beli lebih
ni." Pelawa Pak Samad dengan mesra.
"Ishh, buat susah-susah je."
"Apa pulak, selalunya En.
Khaliff belanja Pak Samad makan, hari ni Pak Samad belanja En. Khaliff pula.
Kalau En. Khaliff nak tau, nasi lemak ni adalah nasi lemak yang paling sedap
dan popular kat kampung ni. Tiap-tiap hari memang laris macam goreng pisang!
Rugi kalau tak cuba!" Begitu bersungguh-sungguh nampaknya Pak Samad mempelawa
Khaliff.
Khaliff tergelak kecil dan
mengangguk.
"Hmm, kalau dah begini
gayanya saya mesti makan juga ni!" Khaliff duduk dibangku bersebelah Pak
Samad. Nasi lemak daun pisang dibuka dan dihidangkan di hadapannya. Aromanya
yang begitu wangi membangkitkan selera. Khaliff menyuapkan nasi itu,
semulut...dua mulut....tiga mulut. Ya Allah, sedapnya tidak terkata. Siapakah
gerangan makcik yang memasak nasi lemak sesedap ini? Seumur hidup Khaliff,
rasanya ini kali pertama dia makan nasi lemak yang paling sedap.
"Sedapnya Pak Samad. Dah
habis sebungkus saya bedal!" Puji Khaliff dengan penuh terujanya. Pak
Samad tergelak kecil lalu menghulurkan sebungkus lagi nasi.
"Aik, banyak
beli?"Soal Khaliff.
"Pak Samad kalau beli nasi
lemak ni, memang beli lebih sebab tak pernah cukup. Dah dua hari Pak Samad tak
makan nasi lemak ni, sebab gerainya tutup. Tak senang duduk Pak Samad
dibuatnya." Beritahu Pak Samad pula.
"Ohh, kat mana gerainya? Siapa yang
menjualnya?"
"Dania. Dia jual kat depan
rumah dia, nun di simpang sana." Cerita Pak Samad.
"Sedap betul makcik ni
buat. Jatuh cinta saya dengan masakannya Pak Samad!" Pak Samad ketawa
mendengarnya.
"En. Khaliff ni, Dania tu
bukan makcik, budak lagi. Umurnya baru 19 tahun, tengah tunggu keputusan STPM.
Dia yang masak nasi lemak ni." Cerita Pak Samad. Khaliff menepuk dahi.
"Lah, ye ke? Manalah saya
tahu. Iyalah, susah nak cari anak dara zaman sekarang ni yang pandai masak
macam ni. Rajin betul budaknya ya?" Puji Khaliff yang mula berminat untuk
mengenali gadis ini.
"Hmm, Dania tu memang
bagus sungguh, terdidik budaknya. Tahun lepas, maknya meninggal dunia kerana
kemalangan jalanraya. Ayahnya selamat tapi lumpuh akibat kemalangan tu. Jadi,
dia yang mengambil alih tugas ayahnya mencari rezeki dengan menjual nasi lemak
ni. Pandai mengaji budaknya, pelajar SPM terbaik sekolah. Tapi, dia tolak
tawaran belajar kerana masalah kewangan. Sambung STPM pun dibiayai oleh
gurunya. Kasihan dia." Cerita Pak Samad dengan penuh simpati.
Khaliff menganggukkan kepalanya. Dalam hatinya
bagaikan mengeluarkan perintah agar dia menemui gadis ini yang tiba-tiba
bagaikan menarik minatnya biarpun tiada lagi pertemuan antara mereka.
BAB 2
Jam menunjukkan
pukul 6.30 pagi. Dania mula membungkus nasi lemaknya sebelum para pembeli mula
membanjiri gerai kecilnya ini. Kalau tidak, tak menang tangan dibuatnya. Seawal
pukul 4.00 pagi, Dania akan bangun dari tidur untuk memasak nasi lemak dan lauk
pauk seperti sambal udang, telur rebus, kerang masak lada, daging masak kicap
dan sambal sotong. Setiap hari dia akan memasak 25 kg beras untuk menampung
permintaan pelanggan. Selalunya dalam pukul 10.30 pagi, nasi lemaknya sudah
habis di jual. Muncul Budin tersengih-sengih macam kerang busuk. Dia memang
suka menganggu Dania. Sudah menjadi hobi agaknya. Namun Dania tidak pernah melayan
dia pun. Sombong tapi manis.
“Samekom, morning darling…”
ucap Budin. Dania terus membungkuskan nasi lemaknya tanpa mempedulikan lelaki
itu. Budin bersandar di tiang lampu yang bersebelahan gerai kecil Dania itu.
Wajah lembut Dania direnung dalam-dalam. “Amboi, senyumlah sikit. Serius je
awek abang ni. Nanti rezeki susah nak masuk tau.” Mata Budin tertancap pula
pada Hayati, jiran sebelah rumah Dania yang sedang melangkah menuju ke sini.
Bulat matanya melihat solekan tebal di wajah gadis itu.
“Mak aih, dari mana pula
datangnya opera cina sesat ni? Tertinggal bas nak pergi show ke? Lah, kau
rupanya Yati. Hahahahaha, mati-mati aku ingatkan pelakon opera cina tadi. Apa
kes pagi-pagi buta pakai bedak lima kilo ni? Lori tepung tumpah atas kau ke? ”
Tegur Budin dengan celupar dan gelak ketawanya.
Dania berpaling ke arah Hayati. Terkejut dia
melihat wajah gadis itu diselaputi solekan tebal. Namun dia kembali fokus pada
kerjanya. Pelanggan pula mula datang berkunjung. Biarlah Hayati dan Budin yang
bertekak. Hayati menghampiri Dania yang sedang sibuk melayan pelanggannya.
Budin dipandang tajam dan dijeling.
“Kau ni Budin, mulut sedap je
mengata orang. Yang kau tu, berdiri kat situ, tak ada bezanya pun dengan tiang.
Aku ingatkan tadi, tiang TNB yang terbaru. Makin rampingnya kau sekarang. Ini
mesti sebab hari-hari kau makan kayu kan? Iyalah, kau kan tak kerja. Mana ada
duit, nak beli makan. Kau tak payahlah nak komplen sangatlah pasal aku. Aku
tahulah aku nampak cantik dari biasa. Nak puji aku, puji jelah. Tak payah
pusing sana-sini.” Balas Hayati yang bermulut sekapal laser dengan Budin.
Budin tergelak mendengarnya. “Eh, kau jangan
pandang aku sebelah mata tau. Kurus aku pun, aku tetap gagah macam Malek Noor,
errr… punya sepupu. Kau ingat aku suka suki ke, nak duduk kat sini? Aku ni duta
Nasi lemak Dania tau. Kau tengok, pelanggan Nia tak putus-putus dari tadi.
Puncanya aku lah tu, jejaka paling hensem
dalam kampung ni sedang posing macam
model di sini. Itu yang jadi daya tarikan pelanggan di sini...” jawab Budin.
Hayati pula tergelak.
“Hahahaha, boleh jalanlah. Kau ni, kalau nak temberang pun, sikit-sikit
sudahlah. Nampak bebenor menipu. Duta nasi lemak konon? Nak jadi duta seluar
dalam kedai 1 barang, 1 ringgit pun tak lepas.” Hayati pula membalas.
Dania menyampuk. “Korang ni,
sudah-sudahlah gaduh. Aku tengah berniaga ni. Rimas lah, nak gaduh pergi lah
tempat lain,” tegur Dania.
Budin menjawabnya. “Tengok?
Awek aku dah marah. Kau dah beli nasi lemak pergilah balik. Aku ni dah naik
seram tengok muka kau tu. Dah macam, Pontianak Harum Sundal Pagi pulak aku
nampak. Sibuk je kat sini. Orang nak bercinta pun, tak senang.” Hayati pula
mencelah. “Aku datang sini nak tolong Dania. Bukan macam kau tu, menyakitkan
mata orang. Nia boleh kan aku tolong kau? Hari ni je, tapi aku tak minta gaji
pun. Aku dah banyak duit.” Cerita Hayati membuatkan Dania hairan mendengarnya.
“Ish, apa kes tetiba je buang tabiat nak
datang menolong aku ni? Selalunya kau tengah hari remang, kau baru bangun
tidur. Biar betul kau ni? Tak payahlah susah-susah, aku okey je…” jawab Dania.
Setiap hari, Dania akan
menyimpan sebungkus nasi untuk kawannya itu kerana Hayati selalu bangun pada
tengah hari. Hayati tersenyum sengih mendengarnya. “ Kau ni, jangan ingat aku
ni, baik hati sangat nak menolong kau. Aku tolong kau hari ni, ada sebab lah.
Kau tau tak, ayah aku cakap hari ni, tuan punya resort yang kat hujung kampung kita tu, nak datang beli Nasi Lemak
kau. Semalam, punya dia puji masakan kau melambung tinggi. Kau tau tak Nia,
orangnya hensem gila. Pakai kereta besar. Itu yang aku melawa sakan ni. Aku nak
mengorat dia, sampai dapat.” Teruja sekali Hayati menuturkannya.
Budin mencebik. Dania
mengelengkan kepalanya. “Lah, sebab itu je? Macam-macamlah kau ni.” Ujar Dania.
Budin mencelah. “Itu yang kau
sampai terjun dalam tepung ni, kononnya nak jadi putih gebu macam snow white lah ya? Puncanya nak mengorat
mamat Bandar tu je? Eleh, macamlah hebat sangat pun mamat tu. Berangan jelah
Yati oi, aku takut nanti dia lari lintang-pukang je bila nampak muka kau. Dah
serupa, hantu tepung dah aku tengok.” Sindir Budin.
Hayati mengetap bibir tanda
geram. “Hei Budin, kau blah lah dari
sini. Menyibuk je, sekurang-kurangnya lelaki tu, berpuluh kali ganda lagi bagus
dari kau. Calon suami yang aku cari-cari selama ni. Kau tu, asyik melepak je.
Makan tidur, makan tidur. Kerja pun tak ada, sapa yang nak lelaki macam kau ni.
Pejam mata je, aku tengok kau ni.”
“Kau jangan pandang aku tak ada
mata tau. Aku ni, dah ada kerjalah. Pergi kerja je, aku tak. Kau ingat aku ni
tak berduit ke? Dalam bank melambak-lambak. Aku pun, kalau perempuan macam kau
ni, bagi free kat aku pun, aku tak
nak. Jenuh aku borong tepung selori tiap-tiap bulan untuk muka kau tu. Lainlah
Dania, memang bakal isteri aku tak lama lagi tau…” balas Budin yang tidak jemu
bertekak dengan Hayati.
“Memanglah kat bank melambak
duit. Tapi bukan duit engkau pun, duit orang lain. Ingat aku tak tau, kau tu
mamat sengkek. Nia, lelaki macam ni kau nak buat laki? Kau tu rajin, jenuh
menanggung lelaki pemalas macam ni,” Hayati pula membebel.
Pertengkaran itu terhenti dengan tiba-tiba
apabila sebuah kereta BMW 525i berhenti di hadapan gerai Nasi Lemak Dania.
Turun seorang lelaki yang berkulit hitam manis memakai t shirt dan jeans biru
gelap. Hairan Dania melihatnya.
‘Siapa dia ni? Tak pernah aku
nampak pun sebelum ni? Jangan-jangan…’ Hayati tersenyum gatal sambil menyiku
lengan Dania. Dania menoleh. “Oh My God! Dia datang Nia…” maklum Hayati,
teruja. Oh, tuan punya resort rupanya.
Khaliff tersenyum mesra dan
Dania turut membalasnya. Sebagai peniaga yang mesra pelanggan senyuman itu
adalah penting untuk memikat pelanggan, bukan mengorat pelanggan ya?
"Err, beli nasi lemak
ke?"Soal Dania seperti biasa pada setiap pelanggannya.
Hayati terus mencelah dengan ramahnya. “Beli
Nasi Lemak abang. Kat sini kami menyediakan pelbagai lauk-pauk. Ada sambal
bilis, sotong kering, kerang, udang petai, ikan keli bakar, tomyam campur….”
Dania menyiku Hayati yang sudah merapu.
“Ishh, kau ni bila masa aku jual ikan keli
bakar dan tomyam campur pulak ni?” Bisik Dania pada Hayati. Hayati mengawal
keterlanjurannya dengan tersengih.
“Opss, maaf encik. Errr, encik
boleh pilih ya, lauk mana yang encik nak. Saya akan bungkuskan.” Sopan Hayati
menuturkannya.
Budin hanya mengeleng
melihatnya. Perempuan, kalau nampak lelaki berharta sikit, mulalah mengedik
macam ayam kena cabut bulu. Terlentok sana sini. Tapi Dania lain, reaksinya
biasa sahaja. Khaliff mengangguk faham dan memberi senyum pada Dania.
"Awak ni, Dania kan?"
Soal lelaki itu sambil matanya tepat menujah ke wajah Dania. Saling bertaut
mata.
"Ya, saya. Mana awak tahu nama
saya?" Soal Dania. "Err, semalam saya ada makan nasi lemak awak. Pak
Samad yang beli. So, hari ni saya
datang beli sendiri. Sedap nasi lemak yang awak masak. Rasanya dalam hidup
saya, ini pertama kali saya makan nasi lemak yang paling sedap." Puji
Khaliff ikhlas.
Merah padam muka Dania mendengarnya. Segan.
‘Aku yang mendengar pula terasa malu. Biasalah nasi lemak buatan aku memang
sedap pun, tak payah puji pun tahu. Tapi tak payahlah memuji melampau sampai
macam ni, over pula mamat ni!’ Hayati
mencelah, “ Oh, pakcik Samad tu, ayah saya encik. Dania ni pula jiran saya.
Selalu encik, saya tolong Nia ni memasak. Kami memasak
sama-sama…hehehehe….memang pun, masakan kami sedap. Ramai dah yang memuji. Terima
kasih encik, malunya saya macam ni….” Budin mencebik.
Gedik! Dania sekadar membiarkan
Hayati memainkan peranannya. "Err, encik nak berapa bungkus? Lauk
apa?" Soal Dania.
"Err, saya nak beli dalam
50 bungkus!" Dania terkejut mendengarnya. Terbuntang biji mata. Mak oi, 50
bungkus? First time dalam sejarah
pembungkususan nasi lemak aku, ada seorang pelanggan yang membeli 50 bungkus
sekaligus. "Be... be..betul ke ni encik nak beli 50 bungkus? Saya salah
dengar ke?" Soal Dania tidak percaya. Terkebil-kebil matanya.
Lelaki itu tergelak kecil. Lucu
melihat reaksi Dania ini, sudah pastilah terkejut, sekali hendak membeli borong
50 bungkus sekaligus.
"Iya lah, saya serius. 50 bungkus! Kalau
tak percaya, ini depositnya, Rm 50!" Kata Khaliff lagi. Dania mengangguk
faham dan percaya kata-kata lelaki itu.
"Okey..okey...Saya bungkus
sekarang. Lauk nak apa ya?"Soal Dania. "Bubuh je segala lauk yang
ada."Maklum Khaliff.
Dania mengangguk tanda
memahami. Dia mula menjalankan proses mentapaukan nasi lemak daun pisangnya. Kalau
tak cukup, terpaksa lah aku guna plastik pula.
'Ishh, mamat ni asyik renung
muka aku je, arghh jangan dok perasanlah Dania. Dia tu tengok nasi yang kau
bungkus ni! Buat kerja kau cepat!' Desis hati Dania tatkala matanya dan mata
lelaki itu bertaut. Budin yang perasan pandangan luar biasa lelaki itu pada
Dania menahan bara cemburunya. Manakala Hayati, asyik merenung sahaja lelaki
itu sambil tersengih.
“Hei bro,
apasal gua perhatikan lu dari tadi asyik usha awek gua? Lu jangan
cuba nak tackle awek gua ya? Dania
ni, gua dah tempah dari dia umur 2
minggu dalam kandungan mak dia tau? Kalau lu
nak usha, lu usha opera cina sesat
kat sebelah Dania tu, yang itu gua izinkan.”
Budin mencelah.
“ Abang Budin! Apa ni, cakap merepek? Cubalah
bersopan sikit dengan orang luar. Maaf ya
encik, bagi pihak abang Budin,” lembut Dania mengawal situasi.
Hayati pula menambah. “ Kau ni
Budin, menyibuk betul lah. Cubalah beradap sopan sikit. Maaf ya abang, dia ni
memang macam ni. Mulut peluru berpandu. Jangan ambil hati ya. Biasalah
pagi-pagi ni, dia mamai lagi.” Kata Hayati tersengih.
Lelaki itu mengangguk dan senyum. “Tak apa.
Saya faham. Budin jangan salah sangka ya,” Lelaki itu mengalih pandang pada
Budin dan tersenyum. Budin mengangguk dalam hati yang penuh prasangka.
Tiba-tiba Budin teringat, keputusan 3D yang akan diumumkan pagi ini. Semoga
nombor yang diramal akan berjaya.
“Alamak, Nia. Abang Budin kena
pergi ni. Ada meeting dengan klien pagi ni. Adui, macam mana abang boleh lupa?
Okey, abang sambar sebungkus nasi ya? Nia tak payah bayar abang jadi duta Nasi
Lemak Nia tau. Abang ikhlas…” Budin mengambil sebungkus nasi percuma seperti
biasa. Dania tidak mampu melarangnya. Hayati menegur. “Kau ni Budin, itu je
yang kau tau. Makan free. Orang
berniaga lah.” Bebel Hayati.
“Eh Yati, kau ni Nia pun tak bebel kat aku,
kau pula sibuk nak bising-bising buat apa? Nia ni, memang baik hati. Suka
bersedekah, lebih-lebih lagi aku ni, anak yatim piatu. Kami ni, sama-sama tak
ada mak tau. Okey, sayang. Abang pergi dulu ya. Jangan risau, tak lama lagi
kita kahwin. Sayang Nia! ” Jawab Budin tersenyum sengih lalu berlalu dari situ
dengan tergesa-gesa. Dania mengelengkan kepalanya. Apapun, dia mengikhlaskan
hati dan meniatkan sedekah. Khaliff terkedu mendengarnya. Dania anak yatim
piatu dan emaknya telah meninggal dunia. Sama seperti dia juga. Hatinya rasa
begitu tersentuh. Wajah Dania direnung kasihan. Gadis ini kelihatan begitu
tabah menghadapi ranjau hidupnya. Dia begitu kagum.
"Err, encik. Encik kena
tunggu lama sikit tau. Sebab, saya tengah siapkan nasi lemak pelanggan tetap
saya. Diorang ni nak masuk sekolah." Beritahu Dania yang begitu sibuk
membungkuskan nasi pelanggan yang sedang mengerumuninya.
"Takpa. Lama macam mana pun saya sanggup
tunggu," jawab Khaliff. Hai, lain macam bunyinya? Tak boring ke dia? Dah
tak ada kerja lain agaknya?
"Err, apa kata kalau encik
pergi mana-mana dulu, dalam setengah jam ke, encik datang balik, sebab saya
rasa lambat juga nak siap ni? Sebab pelanggan setia saya pun boleh tahan juga
ramainya. Encik ambil dulu sebungkus dua untuk isi perut. Kang pengsan pula
Encik menunggu nanti!" Beritahu Dania sambil tangannya membungkus nasi
lemak. Cekap, pantas dan cermat. Kecekapan Dania itu menghiburkan hati Khaliff.
Zaman sekarang, susah betul
hendak mencari perempuan yang cekap melakukan kerja-kerja dapur.
"Takpe, saya tunggu. Kalau
ada pelanggan lain yang nak cepat, awak bagi dulu pada mereka." Balas
Khaliff, lembut. Dania sekadar mengangguk.
Dia bukan apa, cuma rasa tidak
selesa kerana lelaki itu berdiri mengadapnya sambil memeluk tubuh kemudian
matanya asyik merenung ke muka Dania. Serba salah jadinya hendak membuat kerja.
Dania menayang muka selamba dan tangannya semakin laju membungkus nasi lemak.
Pelanggan mula mengerumuni gerai Dania, tidak menang tangan dibuatnya. Kewujudan
Hayati langsung tidak memberi fungsi untuk memudahkan kerjanya kerana modus
operandi gadis itu hanya mengorat lelaki ini. Mata Hayati tidak lepas memandang
wajah lelaki itu sambil tersenyum miang.
Dania mendongak kepala. Matanya
dan lelaki itu bertaut lagi. Saling berbalas senyum. Lelaki itu masih sabar
menanti. Hai, kesian pula bila tengok muka dia. Asyik tersenyum je, langsung
tak marah apabila tempahannya lambat disiapkan. Ada juga manusia terlebih sabar
macam begini dalam dunia.'
“Abang dah kahwin ke, belum?” Hayati bertanya.
Dania hanya membiarkan perbualan itu.
“Belum.” Hayati tersengih
mendengarnya. Yes! Hayati menjerit perlahan.
“Hehehe…..abang, belum ada
calon isteri lagi?” Perigi mula mencari timba.
“Belum.” Jawab Khaliff,
ringkas. Dia menjawab ala kadar kerana pandangannya lebih tertumpu pada Dania
dari gadis yang bersolek tebal ini. Yes! Hayati menjerit kecil lagi. “Saya
masih solo abang.” Beritahu Hayati.
Khaliff hanya mengangguk dan senyum. Hayati
sudah perasan. Alahai, peluang baik yang terbuka luas. Tepat jam 9.05 pagi,
barulah Dania berjaya menyiapkan 50 bungkus nasi lemak yang telah di tempah
oleh lelaki yang setia menunggu selama hampir satu jam tanpa jemu. Muka pun
asyik tersenyum memanjang. Ada juga manusia macam ni dalam dunia. Penyabar
tahap gaban. Kalau aku, dah lama aku bakar gerai ni!
"Err, semuanya RM100.
Maaflah, encik. Lambat siapkan, biasalah pagi-pagi selalunya ramai yang datang
membeli, semuanya nak cepat sebab mereka tu pergi menoreh lah, hantar anak
sekolah lah!" Cerita Dania.
Hayati yang sedari tadi melirik
lelaki ini terus menyampuk. "Hmm, betul tu. Kami minta maaflah ya abang
sebab biarkan abang menunggu lama! Err, lupa pula saya nak tanya, nama abang
apa ya?” Soal Hayati ramah.
Khaliff senyum."Err, nama
saya Khaliff. Tak apa, saya faham. Sejak makan nasi lemak Dania semalam, saya
terbayang-bayang je. Sebab tu, pagi-pagi lagi saya datang membeli. Saya pun
membeli banyak ni untuk pekerja-pekerja saya. Nampaknya selagi saya berada di
kampung ni, saya pun dah menjadi salah seorang pelanggan setia Dania
sekarang." Beritahu Khaliff sambil matanya menghala ke arah Dania yang
sibuk mengemas gerai nasi lemaknya yang sudah habis jualan. Dania yang
mendengarnya mengangguk dan senyum sahaja. Segan sebenarnya kerana lelaki ini
kelihatannya terlebih sudah dalam memuji. Khaliff masih memandang Dania.
Orang lain yang tanya dia, tapi
menengoknya orang lain. Kuat betul tarikan gadis ayu bernama Dania ini. Cantik,
berwajah lembut dan berjaya memakukan pandangannya biarpun hanya memakai t shirt
yang tiada jenama dan track suit. Tudung pun di sarungkan ikut suka hatinya dan
kelihatan senget.
"Err, Khaliff....boleh
kita berkenalan? Saya Hayati!" Hayati menghulurkan tangannya membuatkan
Khaliff tersentak. Dia terus menyambut salaman tangan itu.
"Sure,why not...Err, Dania tak nak berkenalan dengan saya ke?
Saya Khaliff..."Ucap Khaliff setelah
berusaha sedaya upaya menarik tangan yang dipegang kemas oleh gadis yang
bernama Hayati itu. Kemudian menghulurkan tangannya kepada Dania pula. Berharap
agar Dania menerima salam perkenalannya ini. Berkerut dahi Dania dibuatnya.
Salam bermakna harus bersentuhan dan berpegangan tangan. Aduhai, aku masih
belum mahu mencemari kesucian tanganku ini, dengan sentuhan lelaki yang tidak
berhak. Kurang ajarkah aku, kalau aku berterus terang?' fikir Dania.
"Err, maaflah. Saya tak boleh bersalaman
dengan awak. Haram hukumnya,"tegur Dania.
Hayati terlopong mendengarnya.
'Minah ni sombongnya, kalau aku salam tangan dia sampai ke petang pun aku
sanggup! Alah, dosa sikit ja karang taubatlah masa tua! Ya Allah,
manusia...manusia...itu pun kalau umur panjang. Mati bukan kenal muda atau pun
tua. Bila Izrail datang memanggil, jasad terkubur diperbaringan. Seluruh tubuh
akan menggigil....'
Khaliff terkedu mendengarnya.
Perlahan-lahan dia menarik tangannya dan air mukanya sedikit berubah. Dania
terus berkata, "encik janganlah terasa hati, saya ni sebenarnya bukannya
nak tunjuk alim. Saya pun bukannya bagus sangat. Tapi tak salah kalau kita
saling ingat mengingati sesama kita."
"Err, tak apa. Maafkan
saya. Saya faham, saya memang salah. Err, esok boleh tak kalau awak bungkuskan
nasi lemak 100 bungkus? Ni saya bayar siap-siap. Saya belikan nasi ni untuk
pekerja binaan saya. Mereka semua tu, memang suka makan nasi lemak awak ni.
Pandai awak masak, jatuh cinta saya dibuatnya..." puji Khaliff dengan
ikhlas.
Dania terkesima mendengarnya.
Bukan kerana sebutan 'jatuh cinta' itu tapi, pesanan nasi lemak 100 bungkus
esok.
"Encik ni, biar betul?
Nasi lemak 100 bungkus esok?"Soal Dania dengan mata yang terkebil-kebil.
Khaliff mengangguk.
"Emm, tapi saya datang
pukul 10. Kasihan pula tengok awak tadi, mana nak siapkan tempahan saya, mana
nak siapkan tempahan pelanggan tetap awak." Dania memanjat kesyukuran.
Baguslah kalau Khaliff datang ambil tempahan pukul 10.00 pagi. Hanya Allah
sahajalah yang tahu betapa kalutnya aku tadi.
"Err, kalau macam tu saya
pergi dulu. Terima kasih," ucap lelaki itu.
Hayati melambai Khaliff.
"Sama-sama Khaliff! Datang tau esok, saya tunggu awak." Laung Hayati
dengan gaya over acting gediknya.
Khaliff hanya tersenyum sebagai balasan. Dania
menyambung kerjanya seperti biasa, namun sedikit pun tidak berpaling apabila
lelaki itu yang menekan hon. Hanya Hayati sahaja yang melambai-lambai.
"Hensemnya! Aduhai, kalau aku dapat dia,"
Puji Hayati dengan penuh dramatik. Dania tidak pedulikan kata-kata itu. Biarlah
si Hayati ni merapu sorang-sorang dia.
"Nah, upah kau sebab tolong aku...."
Dania menghulurkan sedikit duit untuk Hayati.
"Tak payah. Aku dah banyak
duit. Aku datang tolong kau pun sebab Encik Khaliff tu. Agak-agak, dia tu suka
aku tak? Berkat aku letak bedak simply CT
ni! Esok, aku datang lagi tau, tolong kau. Tak sabar nak jumpa Khaliff tu! Dia
tu bagaikan prince charming aku tau!
Aku akan pastikan dia jatuh cinta dengan aku. Aku sanggup tau berkorban masa
tidur aku demi untuk dia? Sekarang ni nak balik sambung tidur balik.
Huargghhh......" Hayati menguap luas tanpa menutup mulut.
Dania bagaikan terpukau dek bau
itu. Mak oi bau, Allah sahaja yang tahu betapa busuknya. Sah, dengan gigi tak
bergosok terus datang ke sini. Inilah yang dikatakan cantik pada luaran
semata-mata agaknya? Sabar jelah wahai hidung...
BERSAMBUNG.... ;D
Just curious sikit...kenapa prolog dgn bab 1 & 2 ni nampak langsung x ada perkaitan watak2...kabur sgt....
ReplyDeleteProlog tu, maybe ada cerita di sebalik kisah dania ini.
DeleteProlog tu kisah silam.
Yg dania ni kisah sekrg... Ada juga kan cerita yg buat mcam tu. Prolog di ambil dr bahgian tgh mss
Betoool betoool betoool ..
ReplyDeletesetuju dengan eijan...konfius ni...prolog lain...lagi satu tajuk novel pun mcm terasa lain je dari cite ni...eeemmm...maybe masih awal kot..so kena tunggu bab seterusnya la...baru leh faham kaitan antara prolog n tajuk cite ni..
ReplyDeletesabar je la ngan hayati tu..
ReplyDeletepatut hayati ngan budin, baru sesuai.
baik betul dania. suka dgn watak dia.
hEHEHE.... Prolog itu akan terjawab apabila anda membaca dan terus membaca.....
ReplyDelete