Followers

Friday, 20 September 2013

GAY ITU SUAMI AKU? BAB 5,6&7




 BAB 5


Sudah hampir dua jam ummi dan babah Khaliff dirawat dalam wad kecemasan. Khaliff benar-benar risau dan tidak senang duduk. Sekejap bangun, sekejap berdiri. Mundar-mandir dia ke sana ke mari.

 “Sabarlah abang. Banyakkan berdoa agar ummi dan babah abang Khaliff selamat.” 

Dania juga turut mengikut Khaliff ke hospital kerana dia benar-benar risaukan keadaan mangsa kemalangan yang diselamatkan itu. Lagipun, Khaliff yang memintanya memangku umminya yang luka parah di kepala. Begitu kusut dan serabut sekali diri Khaliff tatkala ini. Dia benar-benar diamuk resah dan bimbang. 

“Terima kasih Dania kerana dah selamatkan nyawa ummi dan babah abang. Kalau Nia tak keluarkan mereka dari kereta tu, abang tak tahulah bagaimana nasib mereka. Abang berhutang nyawa dengan Nia.” Ucap Khaliff dengan suara yang begitu lirih.

 Matanya sarat dengan kesedihan dan kerisauan. 

“Tak apa. Dah menjadi tanggungjawab Nia tolong mereka. Abang jangan risau, Nia yakin mereka akan selamat. Banyak-banyakkanlah berdoa...” Syukur alhamdullilah, doktor yang merawat ummi dan babah Khaliff memaklumkan yang mereka selamat serta tiada kecederaan yang serius. Babah Khaliff telah pun sedar dan tulang tangannya patah manakala umminya masih belum sedar tapi pendarahan di kepalanya sudah berhenti dan dia dilaporkan stabil.


Dania dan Khaliff masuk melawat ummi yang masih belum sedar kemudian melawat babah Khaliff pula yang sudah pun sedar. 

“Babah...babah okey?”Soal Khaliff dengan risau. 

Johari tersenyum kemudian matanya tertancap ke arah seraut wajah yang sudah berjasa kepadanya. 

“Babah okey. Nak, terima kasih kerana selamatkan pakcik dan makcik. Budi baik anak, hanya Allah sahaja yang membalasnya,” ucap Johari dengan penuh terharu.

 Dania tersenyum. “Yang penting pakcik dan makcik selamat. Saya hanya menolong sekadar yang termampu sahaja.”Luah Dania dengan lembut. 

Johari mengangguk. Tiba-tiba Dania teringatkan sesuatu. Mulutnya terlopong dan mukanya cemas. 

“Ya Allah, dah lama Nia kat sini. Nia tinggalkan ayah saya sorang-sorang...”kata Dania dengan wajah risau.

 Bimbang dengan keadaan ayahnya yang lumpuh itu menguruskan dirinya seorang diri. 

“Jom abang hantarkan Nia balik. Babah, Khaliff hantarkan Dania pulang. Nanti Khaliff datang semula..” Babah Khaliff mengangguk tanda mengerti.



“Ya Allah!!!!!!!!” Terbeliak mata Dania melihat kepulan asap yang terbit dari api yang marak, begitu rakus menjilat rumahnya. Dania segera berlari keluar dari kereta. Jantungnya bagaikan tercampak keluar, dia benar-benar cemas dan bimbang dengan keselamatan ayahnya. 

“Ayah!!!!! Ayah!!!!!!!!!!!” Jerit Dania dengan kuat sekali. Air mata terus jatuh berjuraian ke pipi. Pihak bomba dan penyelamat sedang bertungkus lumus memadamkan api. Dania terus menjerit-jerit dan berlari pantas ke arah rumahnya. Tiba-tiba badannya disambar. Dania terus meronta-ronta sambil matanya tidak lepas-lepas memandang ke arah rumahnya yang sedang dijilat api yang marak itu. Dia memikirkan betapa menderitanya ayahnya yang terpaksa menahan kepanasan. Ya Allah selamatkan ayah aku....

 “Lepaskan Nia...ayah ada kat dalam tu....ayah lumpuh, macam mana dia nak selamatkan diri dia ...Ya Allah, selamatkan ayah....Ayah....Tunggu Nia, Nia nak selamatkan ayah....Ayah....” Dania terus meraung dalam tangisan. 

Khaliff terpaksa memeluk Dania yang sudah seperti hilang akal itu. 

“Nia, sabar Nia. Api sedang marak tu…Bomba sedang memadamkan api…” Pujuk Khaliff yang berusaha menenangkan Dania yang sudah hilang kawalan. 

“Macam mana Nia nak bersabar? Ayah Nia ada dalam rumah. Ayah Nia lumpuh…ayah Nia lumpuh! Macam mana ayah nak selamatkan diri dia. Ya Allah….tolonglah…. Lepaskan Nia…lepaskan Nia, Nia nak selamatkan ayah Nia…Nia nak selamatkan ayah Nia…….” Jerit Dania bersama air mata yang bercucuran. 

Dania terus meratap sayu, menangis dan meraung sekuat hatinya. Ayahnya tidak dapat diselamatkan kerana api sudah semakin marak menjilat rumah Dania. Setengah jam kemudian, barulah api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya. Dania terduduk lemah di hadapan rumahnya. Dia meraung sekuat hati.
“Ayahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”


Hampir seminggu pemergian ayah Dania ke rahmatullah kerana terkorban dalam kebakaran itu. Rupa-rupa kebakaran itu dirancang. Budin yang merupakan dalang kejadian itu telah pun ditangkap polis dan didapati bersalah atas cubaan membunuh. Dania benar-benar tidak menyangka sekejam itu Budin. Semoga lelaki itu mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya. Khaliff sentiasa berada disisi Dania menguruskan tempat tinggal dan makan minumnya. Siapa lagi yang harus diharapkan? Rumahnya hangus dijilat api. Dania kini anak yatim piatu yang tidak mempunyai saudara mara terdekat. Dia sendiri tidak mengetahui siapa dan di mana tinggalnya saudara mara arwah ayah dan emaknya kerana kebanyakannya tinggal di Sarawak. Lagipun ayah dan emaknya tidak pernah menceritakan apa-apa pun padanya mengenai saudara maranya disana dan tidak pernah saling menghubungi antara satu sama lain. 

“Dania, makan sikit. Dah seminggu Dania hilang selera makan.” Pujuk Khaliff dengan lembut. Mak Munah, orang gaji Khaliff telah di bawa ke sini untuk menjaga Dania di Home stay yang di sewa untuk Dania tinggal. 

Khaliff rasa bertanggungjawab atas segala yang berlaku. Sangat kasihan memikirkan nasib Dania. Kalau Dania tidak bersamanya menyelamatkan umi dan babah tempoh hari, mungkin nasib Dania tidak begini malang. Ya Allah, tabahkanlah hati Dania untuk menempuhi segala dugaan ini. Berikanlah dia kekuatan untuk meneruskan hari mukanya. Dia masih muda untuk berdepan dengan dugaan berat ini. 

Dania mengelengkan kepalanya. Selera makannya bagaikan mati. Wajahnya murung dan sedih. Air mata berlinangan lagi. Matanya tertancap ke arah slip peperiksaan STPM nya yang baru diambil pagi tadi. Dia mendapat 5 prinsipal, dengan gred A dalam semua mata pelajaran. Dia merupakan pelajar terbaik STPM di sekolahnya. Sepatutnya berita gembira ini dikongsi bersama ayahnya yang pasti berbangga dengannya. Ucapan tahniah yang datang silih berganti dari guru dan teman-temannya tidak mampu mengusir kesedihan yang dirasainya kini. Dia hilang tempat bergantung dan dia sudah bergelar anak yatim. 

“Dania...”panggil Khaliff lembut tatkala melihat mata bundar itu menerbitkan mutiara jernih entah kali ke berapa. 

“Abang tahu, Nia sedih tapi Nia kena kuatkan semangat. Mati itu pasti bagi sesiapa sahaja. Semua ini takdir, redakan pemergian ayah Nia, kalau arwah tahu yang Nia asyik menangis siang malam, sampai tak lalu makan, arwah tentu sedih dan tak tenang bersemadi disana. Hidup perlu diteruskan. Nia jangan risau, memang kita ni tiada pertalian, tapi abang tak akan biarkan Nia sendiri. Abang akan berada disisi Nia. Abang akan jaga Nia seperti menjaga nyawa abang sendiri.” Pujuk Khaliff lagi yang sejak seminggu tidak pernah berputus asa memberikan kata-kata semangat untuk Dania bangkit dari kesedihan. 

Mendengarnya membuatkan Dania berada dadanya mahu pecah menahan sebak.

 “Nia dah tak ada siapa-siapa lagi...Nia dah jadi anak yatim piatu...mak dah tinggalkan Nia, ayah dah tinggalkan Nia...Siapa lagi yang Nia ada? Semua dah pergi tinggalkan Nia, apa salah dan dosa Nia,” hilang semangat Dania meluahkan kepiluan hatinya. tiba-tiba bahunya disentuhnya. 

Dania segera menoleh. Ummi, Khaliff? Wanita sebaya arwah emaknya itu tersenyum padanya. 

“Siapa kata Nia bersendiri? Nia ada ummi, Nia ada babah. Mulai hari ini, kami adalah keluarga Nia. Nia dah selamatkan nyawa ummi dan babah, kami terhutang nyawa dengan Nia. Izinkan kami menganggap Nia sebagai anak kandung kami sendiri.” Pujuk Maimun dengan lembut. 

Dania terkesima mendengarnya. Ya Allah, beginikah nasibnya? Hidup menumpang atas ehsan orang lain? Dia tidak mampu menyusahkan orang lain terutama dari orang yang tidak dikenalinya. Siapa Khaliff, ummi dan babahnya? Dania akui, dia kini bergantung hidup dengan Khaliff yang begitu prihatin dengan keperluannya. Tapi, jika dia bersendiri kemana dia harus pergi? Dia sudah tiada sesiapapun dalam dunia ini. Rumahnya sudah hangus terbakar. Dia sudah hilang tempat bergantung dan tempat berteduh.
“Nia tak mahu hidup menyusahkan orang lain. Nia tak mahu berhutang budi seumur hidup....”balas Dania dengan sayu.

 Maimun memeluk Dania dan mengelus rambut Dania dengan lembut seakan menumpahkan rasa kasih seorang ibu kepada Dania. 

“Nia. Sebenarnya, ummi dan babah yang berhutang budi dan nyawa dengan Nia seumur hidup kami. Kalau Nia tak selamatkan ummi dan babah, entah macam mana nasib kami sekarang ni. Ummi sebenarnya teringin nak mempunyai anak perempuan semanis Nia, Alhamdullilah hari ini doa ummi telah pun dimakbulkan.Nia jangan fikirkan yang Nia akan menyusahkan kami kerana kasih sayang kami pada Nia tak ubah seperti anak kandung kami sendiri. Pertama kali ummi tengok Nia, ummi dah jatuh sayang dengan Nia. Ummi dan babah berjanji, tak akan sia-siakan Nia dan pastikan Nia akan gembira dan bahagia bersama kami. Masa depan Nia pun, tak akan kami sia-siakan. Percayalah......” Air mata Dania diseka oleh Maimun dan Dania terus mengeratkan pelukannya kerana rasa terharu. 


BAB 6 



PERTAMA kali melangkah kaki di banglo milik keluarga Khaliff membuatkan Dania rasa kagum melihat hiasan dalamannya yang kreatif dan menarik. Cantik, mewah dan menenangkan kerana warna hijau lembut menatari seluruh ruang banglo mewah ini. Tiba-tiba Dania rasa dirinya begitu kerdil disini. Tidak layak untuknya menikmati kemewahan ini kerana dia hanyalah anak seorang pemandu lori. Hidupnya hanya serba sederhana. Dania rasa benar-benar berasa rendah diri. 

“Nia, tunggu apalagi? Jom masuk sayang?”Ajak Maimun dengan mesra sambil memeluk bahu Dania.

 “Nia, babah harap Nia janganlah rasa rendah diri ke malu ke.... anggap ni adalah rumah Nia juga. Mari....”Ajak Johari pula. 

Khaliff tersenyum lega melihat layanan keluarganya pada Dania. ‘Adik’? Rasanya, tempat Dania dihatinya bukan seorang ‘adik’ tapi tempat Dania ‘istimewa’. 

Dania akhirnya akur. Keluarga baik begitu baik melayaninya. Dia diberi sebuah bilik tidur yang begitu cantik, luas dan selesa. Perabotnya juga mewah. Bertuah aku, kerana menjadi anak angkat mereka? Tidak, walau macam mana sekalipun baiknya mereka terhadap aku, mereka tetap orang luar dan aku hanya menumpang ehsan mereka. Aku tidak harus berdiam dan bergoyang kaki di sini. Aku harus membantu ummi membuat kerja-kerja rumah, kalau aku menjadi orang gaji pun aku sanggup. Usai solat maghrib, Dania keluar dari kamar beradunya. 

Perlahan-lahan melangkah ke ruang dapur. Dalam perjalanan, kakinya bagaikan dipaku tatkala matanya terpandang potret seorang lelaki yang berambut paras bahu sedang tersenyum manis. Serta merta jantung Dania rasa berdebar dan bagaikan hanyut dibawa ke dunia lain. Begitu tampan sekali, dia berkulit cerah, matanya yang bening beralis lentik dan berkening lebat, hidungnya mancung dan bibirnya yang merah menawan dan tubuhnya yang sasa. 

“Kacakkan?” Suara Maimun membuatkan Dania tersentak. 

Dania kalut sendiri, merah padam mukanya menahan malu kerana membiarkan dirinya terpukau sehingga Maimun boleh tersedar melihat tingkahnya. 

“Ummi....Errr.....Nia...errr, Nia saja tengok gambar family ummi ni.” Dania terus sahaja menunjukkan gambar Khaliff sekeluarga. 

Rupa-rupanya mereka cuma dua beradik. Tapi kenapa wajah Khaliff dan lelaki ini agak berbeza? Khaliff berkulit hitam manis sedangkan lelaki itu berkulit cerah. Maimun tergelak kecil. 

“Ini anak tunggal kesayangan ummi. Hensem kan? Namanya Afiff. Dia sekarang ni sedang sambung master di UK. Orangnya bijak pandai macam Nia juga.” Terang Maimun. 

Hairan Dania mendengarnya, anak tunggal? Habis itu, Khaliff siapa? 

“Tapi abang Khaliff.....”terus sahaja Maimun menyampuk. Nampak sedikit ketegangan diwajahnya. 

“Khaliff tu anak tiri umi. Babah pernah memadukan umi, masa tu kami dah enam tahun berkahwin tapi belum dikurniakan cahaya mata. Kerana ingatkan ummi ni mandul, babah berkahwin dengan kawan lamanya secara rahsia. Ummi memang kecewa dengan babah dan hampir-hampir bercerai. Namun ummi disahkan mengandung dan kandungan ummi itu telah menyelamatkan rumahtangga ummi dan babah. Perasaan terluka ummi terus ummi bawa sehingga ke hari ini, setiap kali ummi melihat wajah Khaliff, setiap kali itulah hati ummi bagaikan dihiris. Bila Khaliff berusia setahun, madu ummi meninggal kerana kanser hati. Sejak hari itu ummi yang membelanya sehinggalah sekarang.” Mata Maimun mula berkaca-kaca. 

Sehingga hari ini lukanya masih belum terubat pada suaminya yang pernah mengkhianati cinta sucinya, pada arwah Kartika dan pada Khaliff. Biarpun Kartika sudah meninggal, dendamnya terus membara dan dia melepaskan marahnya pada Khaliff. Sehingga ke hari ini, dia masih belum dapat menerima Khaliff dan layanannya padanya tidak pernah istimewa sepertimana layanannya terhadap Afiff. Segala kasih sayangnya tertumpah pada Afiff seorang. 

“Umi seorang wanita yang tabah, Nia kagum dengan ummi.” Puji Dania dengan ikhlas. Maimun tersenyum pahit dan menghela nafasnya.

 “Di luar memang ummi nampak tabah, tapi luka itu tidak pernah terubat Nia, walaupun babah sudah berjanji tidak akan mengkhianati ummi lagi buat kali ke dua, ummi tetap rasa curiga dan sukar untuk percaya. Tapi alhamdullilah, babah memang mengotakan janji.” Ujar Maimun. 

“Dahlah cakap fasal ni, kita ke dapur ummi. Nia cadang nak masak sesuatu untuk malam ni.”Ajak Dania dengan mesra.

 “Ishh, tak payah. Mak Munah dah masakkan untuk kita. Jom, babah dan si Khaliff dah tunggu kita kat meja makan.” Dania dan Maimun saling berbalas senyum.





  
 BAB 7 


Dania benar-benar gembira kerana berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam jurusan Bahasa Melayu dengan Pendidikan. Hasrat Dania yang ingin bergelar seorang guru akhirnya tercapai jua. 

“Nia, ingat pesan abang, belajar rajin-rajin. Ini buku akaun Nia, abang dah masukkan duit. Gunalah duit tu untuk perbelanjaan. Tiap-tiap bulan abang akan bank in lagi duit. Lagi satu, jangan sesekali nak mohon pinjaman PTPTN ke, biasiswa ke, biarlah kemudahan tu untuk mereka yang memerlukan. Nia sekarang ni dibawah tanggungjawab abang.” Pesan Khaliff.

 Dania tersenyum mendengar kata-kata dari lelaki yang sudah dianggap abang itu. Dia menyenangi budi pekerti Khaliff. Orangnya baik hati dan menghormati orang tua. Kenapa ummi begitu membenci dan mendendami Khaliff? Bukan salah Khaliff jika babah yang bertindak mengahwini arwah ibu Khaliff. Kenapa Khaliff yang harus dihukum? Kasihan Khaliff. 

Dania dapat merasakan setiap kali ummi berdepan dengan Khaliff, bahasanya agak kasar dan begitu dingin sekali melayan Khaliff  biarpun  Khaliff masih tetap berlembut dan menghormatinya. 

“Abang harap Nia dapat mencapai cita-cita untuk menjadi seorang guru. Abang akan sentiasa ada disisi Nia dan mendoakan Nia berjaya,” Kata Khaliff lagi.

 Dania mengangguk dan tersenyum mesra. “Terima kasih abang. Abang dan keluarga abang, dah banyak berjasa dengan Nia. Terima kasih sebab layan Nia dengan baik,” balas Dania. Khaliff tersenyum.

 “Apa saja untuk Nia, abang sanggup lakukan asalkan abang dapat lihat Nia senyum dan gembira. Belajar rajin-rajin tau, cikgu Dania yang cute!” Dania ketawa kecil mendengarnya. 

“Iyalah, Nia akan ingat pesanan abang Khaliff ni sepanjang masa. Budi baik abang, hanya ALLAH saja yang mampu membalasnya.” Ucap Dania. 

“Abang ikhlas Nia. Tak pernah abang mengharapkan budi baik abang akan dibalas. Baiklah abang balik dulu, kirim salam kat room mate Nia ya?” Dania mengangguk sambil mata tertancap ke arah Maizi yang sedang tersengih-sengih sambil melambai-lambai ke arah Khaliff.

 Setelah Toyota Harier Khaliff berlalu, Dania melangkah ke arah Maizi. 

“Wah, hensem lah abang Khaliff kau tu! Kau dengan dia tu, ada apa-apa ke? Kalau ada, tak apalah tapi kalau tak ada, kasi je kat aku.” Pinta Maizi tanpa segan silu. 

Dania menampar bahu Maizi perlahan. 

“Ishh, kau ni....abang Khaliff tu dah macam abang kandung aku lah. Dia dah ada kekasihlah. Namanya Arnie Shuhaida, cantik. Minggu lepas, masa aku keluar shopping ngan abang Khaliff, kami terserempak. Mesra sangat mereka..”

 “Alah, yea ke? Melepas aku! Tolong aku Nia, belum bercinta aku dah frust menonggeng. Kalau kau belanja aku ais batu campur, aku sure hilang frust aku tu!” Maizi mengeluh panjang lalu meraup wajahnya. 

“Banyaklah kau punya frust! Kalau nak minta aku belanja ABC, bagitau jelah. Tak payah nak buat drama depan aku!” Mereka sama-sama ketawa. 


Dania yang baru keluar dari dewan peperiksaan tersenyum melihat Khaliff yang sedang menantinya. Sudah hampir dua tahun Dania belajar di Universiti Malaya. Syukur alhamdullilah, keputusan peperiksaannya cemerlang dan dia pernah mendapat 4.00 pointer selama dua semester berturut-turut. Cuma semester ke tiga agak kantoi sedikit dan dia hanya mendapat 3.96 pointer berpunca dari tugasan yang diberikan oleh pensyarah Ramona tidak mendapat markah penuh. Minta-minta semester kali ini Dania mendapat 4.00 pointer lagi. 

“Macam mana last paper tadi?” Soal Khaliff. 

“Bolehlah, dari tak boleh.....” jawab Dania. 

Khaliff mengangguk faham. Setiap hari dia akan menghubungi Dania, tidak pernah lengkap hidupnya tanpa berbual dengan gadis ini. Dania memang nampak lembut, tapi seorang yang matang. Mungkin pengalaman mendewasakan dia. 

“Boleh dari tak boleh? Iya ke tu? Tapi, setiap kali keluar result, kemain lagi dia skor. Kali ni, kalau Nia dapat 4.00 pointer lagi, abang Khaliff akan belikan Nia hadiah.....” umpan Khaliff sambil menjungkitkan keningnya yang tebal. 

Dania tergelak mendengarnya. Khaliff memang selalu membelikannya hadiah. Hadiah yang menjadi kesayangan Dania adalah Teddy bear yang sebesar orang, rantai emas putih, telefon bimbit, dan laptop. 

“Ala, tak dapat 4.00 pointer abang Khaliff beli juga hadiah. Dah jadi hobi abang pun. Nia dah faham sangat dah. Abang Khaliff dah makan ke? Nia lapar lah…” Soal Dania menukar topik. Khaliff begitu memanjakannya seperti seorang adik. 

Dania benar-benar rasa disayangi. 

“Belum. Abang tahan perut tau, semata-mata nak makan dengan Nia. Jom kita makan KFC nak? Abang laparlah...” Dania terus bersetuju. 

Sebaik sahaja masuk dalam kereta, hampir hendak termuntah Dania apabila mendapat ada bau rokok yang begitu menusuk hidung. Dania segera menutup hidungnya. 

“Abang Khaliff ni, busuknya bau rokok. Ishhh, tak habis-habis dengan tabiat merokok dia. Geramnya…tak sukalah!” Dania membebel sambil menahan nafas. 

Dikeluarkan perfumenya dari dalam beg lalu disemburnya ke seluruh kereta Toyota Harrier milik Khaliff ini. Khaliff hanya mengelengkan kepala melihat tingkah Dania itu. 

“Wangi apa bau rokok?”Soal Khaliff. 

Dia memang perokok tegar, sukar untuk dia membuang tabiat merokoknya yang sudah menjadi darah dagingnya semasa remaja lagi. Dahulu dia melepaskan tekanan perasaannya dengan merokok, semua itu kerana pengaruh rakan sebaya. Bukannya dia tidak cuba berhenti, pelbagai kaedah telah digunakan untuk menghilangkan ketagihan merokoknya tapi, Khaliff tidak berupaya. Badannya rasa seperti hendak demam, mengantuk dan otaknya bagaikan tidak berfungsi.

 “Ishh, bila abang nak berhenti merokok? Merokok tak baik untuk kesihatan tau.” Leter Dania lagi sebaik sahaja kereta Khaliff meluncur laju. 

Khaliff hanya tersengih, sudah beberapa kali Dania menasihatkannya dan dia telah pun cuba berhenti, tapi tidak boleh. Dia juga tahu, padahnya merokok untuk kesihatan. 

“Kenapa? Nia takut abang Khaliff mati cepat ke? Tak sempat kita kahwin? Hehehehe, sayang juga Nia pada abang ya? Alah, ajal maut ditangan Tuhan.

 Merokok ke, tak merokok ke, kalau dah ajal kita, mati juga kan?” Jawab Khaliff selamba.

 “Tengok tu, orang bagi nasihat, degil! Mulalah nak merapu.

 Nia tak suka lelaki merokok tau, kalau nak kahwin, Nia akan pastikan bibir dia merah. Baru Nia setuju! Memanglah ajal di tangan Tuhan, kalau mati terus tak apalah, masalahnya kalau dapat penyakit yang kronik yang berpunca dari merokok tu. Sanggup menderita? Tak payah cakap lah penyakit apa, sebab abang Khaliff pun tahukan? Berhenti lah abang, Nia akan menghargai abang sangat-sangat,” bebel Dania panjang lebar. 

Khaliff menghembus nafas perlahan. Kecewa. Hurmm, nampak gayanya dia sudah tersingkir dari ciri-ciri lelaki idaman Dania.

 “Nia…. Nia, boleh tak minta sesuatu yang senang abang nak buat. Susahlah, bukan abang tak cuba, dah macam-macam cara abang guna tapi, abang memang tak boleh berhenti.Abang hanya boleh kurangnya jumlahnya sahaja. Maafkan abang, Nia. Abang tahu Nia tak suka, tapi abang memang susah nak berhenti.” Luah Khaliff dengan sayu dan tunjuk muka kasihan. 

Dania turut tersentuh mendengarnya. Nampak wajah Khaliff agak tertekan. 

“Terpulang pada abang, Nia ni tak ada hak nak memaksa. Abang berhak membuat keputusan untuk diri abang sendiri. Nia bukannya apa, niat Nia baik kerana Nia mengambil berat terhadap insan yang selama ini mengambil berat tentang Nia bila Nia sihat dan sakit.” Serta merta situasi yang ceria sebentar lagi bertukar hening. Khaliff mengerling Dania sekilas. Nampak redup air mukanya. 

“Nia marahkan abang ke? Abang betul-betul minta maaf. Nia tahukan abang sayangkan Nia, demi Nia abang sanggup lakukan apa sahaja, cuma satu perkara ni saja yang abang masih belum mampu nak lakukan. Tapi abang akan sentiasa cuba. Cuma kalau abang berhenti merokok kan, macam tak best lah pula. Sebab dah tak dengar Nia membebel lagi. Semua perangai abang jadi sempurna, dah takde cacat cela. Nak bibir yang merah, senang je. Abang pakai gincu…” Usik Khaliff lalu tergelak kecil. 



Dania menjeling dalam masa yang sama tidak mampu menahan gelak. 

“Hahahaha…. Abang ni. Eeee, ada hati lagi nak bergurau! Perasan! Hurmm….Nia, tengah bayangkan abang pakai gincu. Sedangkan Nia pun tak pakai,” Dania dan Khaliff sama-sama ketawa.







BERSAMBUNG... ;) NANTIKAN 'GISA' AKAN KE VERSI CETAK TERBITAN  GedeBook Sdn Bhd AWAL BULAN OKTOBER INSYA-ALLAH KARYA DARI MIA KIFF.

3 comments:

  1. sis, dh terbit lom?

    ReplyDelete
  2. terima kasih, hujung bln 11 ni akan berada dipasaran

    ReplyDelete