Followers

Wednesday, 6 November 2013

BUKAN ISTERI SIMPANAN BAB 10 & 11



  

          COVER ‘BIS’ YANG AKAN BERADA DI PASARAN.



BAB 10 GAY ITU SUAMI AKU?


Pada cuti hujung minggu, Dania pulang ke Villa Qaseh seperti biasa. Pantas masa berlalu, pejam celik sudah masuk semester ke lima Dania belajar di Universiti Malaya. Sunyi sepi melatari suasana di villa. Babah dan Khaliff ke pejabat, manakala ummi menghadiri mesyuarat persatuannya. Setelah membersihkan diri, Dania keluar dari bilik. Mak munah tentu sedang memasak. 

“Excuse me...”suara garau seorang lelaki menyapa telinga Dania. Dania berpaling pada lelaki itu. Terkesima Dania dibuatnya apabila melihat anak sulung ummi, iaitu Afiff kini berada di depan matanya. Bila Afiff pulang dari oversea? Belum pernah lagi Dania berjumpa dengan Afiff sepanjang dua tahun berada di sini kerana setiap kali Afiff pulang bercuti, Dania berada di kampus. Kalau hari raya pula Afiff tidak pernah pulang kerana jadual belajarnya padat. Serta merta jantung Dania berdebar, semakin lama semakin kencang apabila langkah lelaki itu kian menghampirinya. Renungan tajam Afiff membuatkan Dania terpesona. Lelaki ini lebih kacak jika dibandingkan dalam gambar.

 “Hmm, new maid? So young, boleh buatkan aku milo ais? Kurang manis, pastikan pekat dan lepas kau letakkan ais, make sure taburkan sedikit milo di atasnya. Kalau tak jadi, bersiap sedialah nak mandi air milo tu nanti. Faham?” Mendatar nada suara lelaki ini.

 “Err, baik tuan.” Dania akur. 

“Hmm.” Lelaki itu berlalu. Serius, langsung tak senyum. Dania mengangkat bahu. Ada ke patut dia kata aku orang gaji? Arghh, biarlah.... Dania segera menghayun langkah ke dapur lalu menegur Mak Munah.
“Hai mak munah, masak apa tu?” Soal Dania. Mak munah tersenyum mesra. “Tengah masak sup tulang ni. Nia nak buat apa tu?”Soal Mak Munah tatkala melihat Dania mencapai gelas.

 “Bancuh milo...” “Oh, sejak bila suka minum milo ni? Bukannya Nia suka teh ke?”tanya Mak Munah. Dania tersenyum membalas. 

“Bukan untuk Nia, untuk abang Afiff.” Ujar Dania sambil mengacau milo agar larut dalam air. 

“Lah yea ke? Apasal dia suruh Nia pula? Selalunya dia suruh Mak Munah. Mari Mak Munah bancuh, dia tu pelik sikit. Cerewet, nanti tak fasal-fasal Nia kena marah. Biar Mak Munah buat, Nia pergilah berehat. Nia kan baru sampai, Mak Munah pun dah siap masak ni.” Kata Mak Munah. 

“Takpa Mak Munah, dah siap pun. Tapi, Mak Munah tolong hantarkan ya? Nia tahu apa yang dia nak, dia dah pesan kat Nia tadi. ” Terang Dania yang memahami maksud Mak Munah itu.

 “Err, Mak Munah, bila abang Afiff balik?”Soal Dania. 

“ Hari rabu. Tapi balik terus kot, dah habis belajar Puan Maimun kata.” Terang Mak Munah. Dania mengangguk, faham. Terbayang wajah tampan lelaki itu di ruang mata. Debaran jantungnya tidak menentu. Hatinya rasa gembira, akhirnya dia dapat bertemu dengan Afiff dan mengenali Afiff. 

Afiff membaca majalah maskulin yang baru dibelinya semalam. Terkesima dia melihat susuk tubuh lelaki yang menjadi muka depan majalah. Hmm, macho dan kacak! Tapi, lebih kacak lagi Rayyan. 

Kerinduan pada Rayyan mula mengigit tangkai hati biarpun baru semalam mereka menghabiskan masa bersama. Afiff segera menghubungi Rayyan. “Hai...my love. Buat apa tu?”Soal Afiff, romantik.
“Hai dear, I baru je lepas lunch.You kat mana ni, dear?”Soal Rayyan. 

“Villa ni, you berehat puas-puas sebab malam ni, I akan cari you....” usik Afiff, ketawa nakal. 

“Eee, you ni gatalnya. I miss you, dear. Last night you're so hot! Tonight, make sure you give me more than that,” Ujar Rayyan lagi. 

“Of course my dear. Mandi wangi-wangi tau, I will see you tonight. Bye, love you!” Ucap Afiff.

 “Love you to, more than you...Muah!” Afiff ketawa mendengarnya sebelum memberi ciuman untuk kekasih hatinya itu melalui telefon. Kedengaran pintu Afiff diketuk, terus sahaja Afiff menyuruh pembantu rumahnya masuk. Muncul Mak Munah di muka pintu sambil membawa segelas air. Berkerut dahi Afiff melihatnya. 

“Mana budak perempuan tu? Pemalas ya? Curi tulang, saya suruh dia yang bancuh. Kenapa dia suruh Mak Munah pula?” Marah Afiff dalam nada terkawal. 

“Err, budak mana? Dania?” Soal Mak Munah. Afiff tersentak. Dania? Nama ini macam pernah didengarinya. 

“Maksud saya orang gaji baru ummi...” 

“Oh, saya seorang je orang gaji dalam rumah ni. Yang En. Afiff maksudkan tu, Cik Dania. Cik Dania kan anak angkat En. Johari...” Terang Mak Munah. 

Barulah Afiff mengerti rupa-rupanya perempuan tadi adalah anak angkat ummi, Dania yang selalu diceritakan oleh ummi setiap kali Afiff menghubunginya. Hurmmm, ummi bukan main lagi bercerita yang Dania itu cantik, ayu, sopan santun, pandai memasak..bla…bla…bla….tapi, uhhhh! Afiff  berasa  jelek  pada gadis itu. 


Dania menonton siaran ulangan Maharaja Lawak Mega. Bosan kerana tiada aktiviti yang menarik yang boleh dilakukan. Kalau Khaliff berada di sini, bolehlah mereka berborak-borak sambil bertukar cerita.

 “Oh, jadi kau lah anak pungut yang ummi cakapkan tu?” Berdesing telinga Dania mendengarnya. 

Lalu dia menoleh, Afiff sedang merenungnya dengan sinis. Apa halnya mamat ni? Tidak menyangka wajah tampan yang dikagumi itu boleh mengeluarkan kata-kata yang biadap ini. 

“Hmm, ya. Saya Dania. Memang ummi pungut saya kat tepi jalan. Nama jalan tu tak ingatlah pula. Awak ‘google’ je cari ek?” Balas Dania selamba.

 Tak guna berbudi bahasa dengan manusia kurang ajar macam ni, ingat dia belajar tinggi-tinggi, dia boleh menghina orang lain. 

“Seronoklah yea, dari merempat boleh hidup mewah macam ni. Mesti sekarang ni, kau dah tak sedar diri, lupa asal usul!” Perli lelaki itu, sinis. 

Dania mengambil peluang ini merenung Afiff. Namun pelik melihat subang yang di pakai di telinga kanan lelaki itu. Apa jenis fesyenlah dia ni? Afiff juga memakai singlet dan seluar pendek paras lutut. 

“Kalau tak sedar diri, saya tak duduk sini lah. Tu kat hospital, dalam wad ICU! Hurmm, betul cakap awak tu, saya memang seronok sangat dapat tinggal di sini. Mewah, selesa, dapat banyak duit. Malam-malam, saya tidur atas duit tau?” Bersahaja nada suara Dania. 

Afiff yg mendengarnya bertambah berang. “Hei, kau jangan ingat bila kau dah diterima dalam keluarga ni, kau akan dapat apa yang kau mahu? Apa niat sebenar kau? Nak kikis harta ummi dan babah aku? Nak goda adik aku?” Tuduh lelaki itu lagi. 

Afiff benar-benar sakit hati kerana perempuan ini begitu besar pengaruhnya pada ummi, babah dan Khaliff. Mereka semua begitu menyayangi dan memuji gadis ini. Entah apa istimewanya, semua begitu jelek di mata Afiff. Dania menepuk tangannya sambil ketawa. 

“Wah, hebatnya kau! Kenapalah kau ni bijak sangat? Orang lain tak tau pun, tapi kau boleh tahu? Wah..wah..wah… Kau tahu niat sebenar aku rupa-rupanya? Hurmm, tengok muka kan, macam bodoh je, tapi pandai rupanya. Alah, kau relakslah, kau tak perlu bimbang, kau tak masuk pun dalam senarai mangsa aku.” Balas Dania bersahaja. 

Afiff terkedu mendengarnya. Celuparnya mulut perempuan ini. Kurang ajar! “Hei perempuan! Kau belum kenal lagi siapa aku, jangan nak main-main dengan aku!” Ugut Afiff pula. Dania ketawa lucu.

 “Siapa kata aku tak kenal? Muhammad Afiff. Tu nama kau kan? Perangai kau pula, seorang yang perasan bagus, poyo, kononnya hensem, tapi mulut macam peluru M16! Sesuka hati je, nak cakap apa,” Dania gelak, membuatkan hati Afiff bertambah sakit. 

“Kau!” Jari telunjuk Afiff menghala ke muka Dania. 

Geram betul hatinya, rasanya mahu mencekik leher perempuan ini. Berani betul dia melawan dan mencabar. 

“Apa? Aku apa?” Tanya Dania, berani. 

Afiff mengigit bibirnya, geram. “Kau dengar sini, aku tak akan sesekali membiarkan impian kau akan tercapai. Aku akan pastikan kau akan ditendang keluar dari rumah ni! Kau tak layak tinggal di sini,” tengking Afiff. Dania ketawa mendengarnya.

 Seronok betul dia dituduh seperti itu. Lalu dia bangun dan berdepan dengan Afiff. Bergerak menghampiri Afiff dan merenung mata lelaki itu. Perlahan berbisik ke telinga Afiff. 

“Ada tak orang cakap yang kau nampak hensem sangat bila marah?” Dania berlalu meninggalkan Afiff yang terkebil-kebil mendengarnya.









BAB 11 GAY ITU SUAMI AKU?


Suasana makan malam begitu membahagiakan Johari dan Maimun kerana ahli keluarga mereka kembali berkumpul setelah sekian lama. Afiff sesekali menjeling tajam ke arah Dania yang begitu mesra dengan keluarganya itu. ‘Perasanlah tu kononnya dah diangkat menjadi ahli keluarga aku! Eee, macam cantik sangat dok usha aku. Sorry, aku tak berminat dengan perempuan, kau takcle je lah adik aku yang low taste tu!’Kutuk Afiff dalam hati dengan geli gelemannya. 

“Wah sedapnya Nia masak, masakan terbaru ya? Babah suka gulai daging umbut pisang ni. Tak sangka enaknya, kan ummi?” Puji Johari yang begitu mengemari masakan Dania. Sentuhan air tangan Dania benar-benar memikat hati. 

Khaliff tersenyum senang kerana dia turut menyukainya. 

“Iyalah babahnya. Ummi mula-mula dengar memang pelik, tapi bila dah rasa hmmm, memang sedap!” Puji Maimun pula. 

“Sebenarnya gulai umbut pisang ni masakan popular di utara. Nia pun baru je rasa masakan ni masa Nia pergi kenduri rumah kawan kat Penang minggu lepas.”Terang Dania. 

“Mana Nia cari umbut batang pisang ni?”Celah Khaliff pula. 

“Ada pokok pisang terbalik seberang jalan sana, Nia pun pergi bawa parang, operate batang pisang tu. ” Terang Dania. 

“Lah, kenapa tak cakap kat abang? Nia pergi sorang-sorang kat situ? Bahaya Nia banyak ular kat situ,” balas Khaliff, risau.

 “Nia tawakal je abang. Teringin sangat nak makan. Tapi, legalah Nia tak terserempak dengan ular tadi,” jawab Dania. 

Menyampah Maimun melihat Khaliff yang suka menggatal dan melebih-lebih dengan Dania itu. ‘Mak dengan anak, memang serupa je perangai. Kalau muka tu hensem, tak apalah juga. Ni macam muka orang pecah rumah! Ada hati nakkan perempuan cantik!’ kutuk Maimun sehingga mencebik-cebik mulutnya. 

Afiff ralit melihat Khaliff yang begitu berselera makan gulai umbut pisang itu. Sedap sangat ke? Tiba-tiba teringin pula untuk merasanya apabila ramai yang memuji. Dari tadi Dania mencuri pandang pada Afiff. Seraut wajah yang tidak jemu dipandang. Memang dia sudah terpaut hati, tapi tidak mungkin lelaki sekacak Afiff mahukan dia. Asyik menjeling tajam saja setiap kali mereka bertembung.

 Aduhai, silap dia juga tiba-tiba jatuh cinta pada lelaki yang salah. Afiff perlahan-lahan merasa hidangan yang pelik ini. Hmm, sedapnya! Bertambah berselera Afiff makan hingga menambah nasi lagi..

 “Hmm, Khaliff. Bila nak kosongkan office? Afiff dah balik kan? Sepatutnya Khaliff cuma jadi project manager je, bukannya CEO kan?” Pinta Maimun membuatkan Afiff, Johari dan Khaliff terkedu seketika. 

“Maimun, babah tak suka Maimun memandai-mandai macam ni. Susah payah Khaliff bangunkan syarikat kita yang nyawa-nyawa ikan dulu, sekarang ni senang-senang awak nak masuk campur urusan syarikat. Afiff baru balik, pengalaman pun belum ada lagi, sepatutnya dia bermula dulu dari bawah, tengok dulu macam mana kredibiliti dia memikul tugas, barulah kita boleh pastikan Afiff mampu ataupun tidak untuk kendalikan syarikat.” Leter Johari yang tidak berpuas hati dengan cadangan isterinya itu.

 Maimun lantas mencelah. “Kenapa pula? Sebagai anak sulung, Afiff lebih berhak. Lagipun, Khaliff tu cuma ada degree je, itu pun dalam negara. Afiff ni, ada master oversea lagi! Itu dah cukup membuktikan kemampuan Afiff.” Celah Maimun yang tidak berpuas hati. 

“ Mun, pengalaman dan kelayakan adalah dua hal yang sangat berbeza. Afiff harus banyak belajar lagi selok belok syarikat. Setakat ini, abang sangat berpuas hati dengan prestasi yang Khaliff tunjukkan. Kilang makanan segera Khaliff pun, abang tengok semakin maju dan berdaya saing. Kredibilitinya tak perlu Mun sangkal lagi.” Sanggah Johari lagi.Afiff mencelah. 

“That's true ummi.Afiff pun belum bersedia lagi nak duduk di kerusi CEO tu. Banyak tanggungjawabnya...”terang Afiff yang tidak berminat untuk memegang tanggungjawab yang besar dalam syarikat. 

Banyak komitment yang harus diberikan nanti. Khaliff hanya menjadi pendengar yang setia tanpa ada niat untuk menyampuk. 

“Sudahlah cakap soal kerja ni, sekarang ni babah nak cakap pula soal masa depan anak-anak babah ni. Afiff dah 32 tahun, Khaliff pun dah 27 tahun. Sepatutnya dalam usia macam ni, korang berdua ni dah berkahwin, beranak pinak. Nia takpalah, masih muda lagi. Belajar pun belum habis lagi. Hah, kamu berdua, bila lagi ni? Kalau tak ada calon, biar babah carikan!”Soal Johari yang pertama kali mengajukan soalan ini kepada anak bujangnya. 

Khaliff dan Afiff mula menunjuk muka bosan. 

“Khaliff tunggu Nia dulu, baru Khaliff kahwin!”Jawab Khaliff bersahaja. Terjegil mata Dania dibuatnya.

 “Hishh, abang Khaliff ni nak tunggu Nia alamak jadi bujang terlajak lah. Nia baru tahun kedua, lepas tu bila Nia keluar Nia nak kerja. Nia belum fikir lagi soal lelaki ni babah. Babah, jangan dengar cakap abang Khaliff tu, calon dah ada tapi nak simpan sampai berkulat!”Usik Dania lalu sengih pada Khaliff yang menjegilkan mata padanya. 

Khaliff menggigit bibir tanda geram pada Dania.

 “Abang Khaliff ni, babah tak kisahlah sangat, yang babah kisahkan ni abang Afiff kau ni. Dari dulu sampai sekarang tak pernah ada kawan perempuan, asyik-asyik lelaki yang diusungnya. Tak fasal-fasal orang kata kamu tu tak normal pula. Bila nak kahwin ni Afiff, usia kamu tu dah nak masuk 32 tahun.”Tanya Johari membuatkan Afiff mula menayang muka bosan. 

Dia merengus perlahan. “Betul cakap babah tu Afiff, Ummi pun teringin nak tengok Afiff kahwin. Teringin ummi nak menimang cucu. Bila lagi Afiff?” Soal Maimun yang sudah membayangkan cucu-cucunya yang pastinya comel seperti Afiff semasa kecil dahulu. 

Dalam usia sebegini, impian ingin bermain dengan cucu sendiri sering mengasak fikiran.
“Babah, ummi, please Afiff tak berminat nak kahwin lah. I'm still young okey! Baru 32 tahun. Enjoy pun belum puas lagi. Lain kalilah kita cakap soal ni. Afiff nak keluar sekejap, jumpa kawan. Bye ummi, babah, Khaliff!” Afiff terus bangun dan berlalu. 

“Tengok, bila cakap je fasal kahwin mulalah tarik muka. Dua beradik ni, sama je.....” bebel Johari dengan geram.

 Khaliff tersenyum pada babahnya. “Babah, Khaliff belum ada calon lagi. Khaliff pun tak nak langkah bendul. Biarlah abang Afiff kahwin dulu..” celah Khaliff yang sempat mengenyitkan mata pada Dania.
Maimun menjeling tajam pada Dania dan Khaliff yang sedang berpandangan itu. Dasar keturunan perampas. Gatalnya sama macam emaknya. 

“Hmm…..Tak payah memilih sangatlah Khaliff. Kau tu rupa pun tak seberapa. Kalau dah orang berkenan tu, terima jelah. Oh ya, Dania ni ummi rasa lebih sesuai kalau dijodohkan dengan abang Afiff…iya kan babah? ” Terkedu semua mendengarnya. 

Johari menggelengkan kepalanya. Kesal dengan keceluparan isterinya. Pantas menukar tajuk perbualan yang lain. 

Khaliff tersenyum tawar. Dia sudah lali mendengar hinaan dari mulut ummi.






DAPATKAN SAMBUNGAN 'BUKAN ISTERI SIMPANAN'..... ;)

















Friday, 4 October 2013

GAY ITU SUAMI AKU? BAB 8 & 9




  
BAB 8

Dania menjamah potato wedges manakala Khaliff menikmati ayam goreng di restoren KFC. 

“Nia, lepas ni kita tengok wayang...” pinta Khaliff.

 “Cerita apa? Love story tak nak ek, abang ni suka sangat tengok. Mentang-mentang tengah dilamun cinta!” Rungut Dania. 

“Aik, mana Nia tahu?”Soal Khaliff hairan. 

“Sekilas ikan di air, aku tahu jantan betinanya. Arnie Shuhaida kan? Alah jangan nak menipu, minggu lepaskan Nia terserempak abang keluar dengan dia. Masa tu Nia keluar dengan Maizi beli buku. Nia malas nak tegur abang, nanti kacau daun pula.” Soal Dania sambil tergelak kecil. 

“Hah? Minggu lepas? Amboi, langsung tak tegur abang. Nia, abang keluar atas urusan kerjalah. Ishh, langsung tak ada kena mengena dengan abang lah. Merepek Nia ni..!” Khaliff menafikan. 

Dania mencebik. “Habis tu, siapa yang ada kena mengena?”Soal Dania. 

Khaliff hanya merenung dengan pandangan penuh makna. Dania masih menanti jawapan Khaliff itu. Belum sempat Khaliff membuka mulut, tiba-tiba telefonnya berbunyi. Khaliff hairan melihat nama 'ummi' tertera di skrin telefonnya. 

“Hello ummi, ya Khaliff sekarang kat KFC ni. Nia? Nia ada dengan Khaliff ni....” Jawab Khaliff  atas pertanyaan kasar ummi itu. 

“Mana kau nak bawa dia? Bila nak balik ni? Kan aku dah pesan, dah pergi ambik dia kat U terus sahaja bawa balik. Jangan nak mengatal bawa dia keluar ke sana ke sini. Kau nak mengoda Nia kan? Kau dengan mak kau, memang sama je perangai. Dah, bawa Nia balik. Jangan nak berangan nakkan Nia tu, kau tu tak sepadan langsung dengan Nia, tau tak?” Marah Maimun tanpa mempedulikan perasaan Khaliff yang seringkali terluka. Tidak nampakkah Maimun kebaikannya selama ini. Dia sentiasa cuba menjadi anak yang baik dan mendengar kata. Sakit pening Maimun selama ini dia yang ambil tahu. 

“Ummi, Khaliff tak ada niat pun macam tu. Tak apalah, lepas makan nanti kami terus balik.” Balas Khaliff, kecewa. 

“Cepat sikit balik. Jangan nak melencong ke mana-mana lagi. Bukan boleh percaya sangat kau tu. Nia tu perempuan baik-baik. Jangan nak rosakkan dia. Faham?” Pesan ummi, nada suara yang kasar. Lemah Khaliff mendengar amaran itu. 

“Baiklah ummi.....” Talian dimatikan. 

Dania menyedari wajah Khaliff yang bertukar muram. Faham sangat yang Khaliff baru lepas kena sembur lagi dengan ummi. 

“Abang, kenapa ni? Ummi marah abang ke?” Hairan Dania dengan sikap ummi. Dengan babah, Afiff dan Dania bukan main lembut lagi bercakap. Tapi kalau dengan Khaliff, asyik kasar nadanya. Paling tidak pun dia akan menjeling tajam.

 “Biasalah ummi, macam Nia tak tahu. Dah habis makan? Jom balik.....” pelawa Khaliff yang nampak sudah hilang 'mood'.

 “Eh, tadi kata nak tengok wayang?”Soal Dania.

 “Tak jadilah...” 

“Kenapa?” Khaliff masih membisu. 

“Ummi suruh balik cepat ke? Ada hal penting?”Soal Dania lagi.

 “Hmm. Ummi suruh balik. Tak tahulah sebab apa.” Dania sudah dapat mengagak. 

“Abang Khaliff jangan ikutkan sangat cakap ummi tu. Abang ikut ke, tak ikut ke, ummi tetap prejudis pada abang. Abang janganlah baik hati sangat, nak menjaga hati orang lain sedangkan hati abang tak ada orang yang peduli pun. Memang kita harus menghormati orang tua kita, tapi mereka pun manusia biasa juga. Tak sempurna, kalau apa yang mereka minta tu salah, tak semestinya kita sebagai anak harus turutkan. Nia kasihankan abang, abang anak yang baik. Tapi abang tak pernah dihargai. Abang dihukum atas kesalahan orang lain sedangkan abang tak bersalah.” Khaliff benar-benar terharu mendengarnya. 

Ada juga insan yang menghargainya dan nampak ketulusannya. 

“Terima kasih kerana memahami abang. Apa pun, kita doakan supaya suatu hari nanti ummi akan sedar akan kesilapannya dan menerima abang seperti anaknya sendiri. Ummi sebenarnya seorang yang baik cuma, hatinya yang terluka masih belum terubat. Kita sama-sama doakan ya Nia?” Dania mengangguk dan tersenyum akhirnya.













BAB 9


Dania membantu Maimun menyiram pokok-pokok bunga di Taman Botani yang terletak di belakang Villa Qaseh sambil mereka berbual-bual kosong. 

“Nia ada apa-apa ke dengan Khaliff tu?”Soal Maimun dengan serius. 

Dania tersentak mendengar soalan itu.

 “Apa-apa tu macam mana ummi? Nia tak faham lah...” Soal Dania kembali. 

“Maksud ummi, Dania dan Khaliff.Ada hubungan istimewa ke? Bercinta ke?” Dania tersenyum tanda memahaminya. 

“Tak adalah ummi, kami ni tak ubah macam adik dengan abang. Macam mana ummi boleh terfikir macam tu?” Terang Dania sambil mengesat peluh yang menyimbah di dahinya.

“Kalau betul tak apalah. Lega ummi dengar, ummi bukannya apa, Nia dan Khaliff tu bukannya secocok. Ummi harap Nia jangan mudah tergoda dengan Khaliff tu, berhati-hati sikit bila berdepan dengan orang macam tu. Takut perangainya sama sahaja dengan arwah emaknya dulu. Gatal, tak sedar diri, perampas hak orang! ” Pesan Maimun dengan nada yang sedikit sinis. 

“Ummi, abang Khaliff tu baik. Ummi janganlah fikir yang bukan-bukan fasal dia. Lagipun itu kan kisah lama. Ummi jangan ingat lagi, nanti hati ummi yang sakit. Abang Khaliff kan tak ada kena mengena dengan kisah silam ummi.” Dania cuba memujuk ummi. 

Maimun merengus. “Tengok, pandai dia berlakon baik depan Nia, sampai Nia pun terpedaya dengannya. Maknya dulu pun macam tulah, bukan main baiknya dengan ummi, pijak semut pun tak mati tapi tergamak merampas suami ummi. Jangan mudah percaya Nia, macam mana acuan, macam itulah kuihnya,” pesan Maimun.

 Keras betul hati ummi, begitu kukuh tembok kebenciannya pada Khaliff. Khaliff yang mencuri dengar tidak mampu lagi menahan air matanya. Sampai hati ummi menghina arwah mamanya dan dirinya. Mamanya meninggal dunia pada usianya setahun. Sejak itu dia tinggal bersama babah dan ummi namun, tugas seorang ibu telah diambil alih Mak Munah sepenuhnya. Ummi tidak pernah melayan Khaliff sebagai anak dan dia tidak pernah mengaku yang Khaliff adalah anak tirinya jika ada yang bertanya. Khaliff dikatakan anak orang gaji dalam Villa Qaseh ini. 

Hanya babah sahaja yang sering membela Khaliff jika ummi bersikap berat sebelah menyalahkan Khaliff atas pelbagai kesalahan yang tidak dilakukannya. Afiff pula ikut kepala angin dia, kalau dia rasa nak berbaik dengan Khaliff, dia akan berbaik, kalau dia nak bergaduh, dia akan bergaduh kerana ummi tidak suka Afiff rapat dan berbaik dengan Khaliff Afiff dihantar belajar ke luar negara, tetapi Khaliff yang lulus lebih cemerlang hanya menyambung pelajaran di UITM, Shah Alam. Begitu ketara sikap berat sebelah ummi, namun kerana menghormati ummi, Khaliff hanya menurut sahaja kehendaknya tanpa sebarang protes. Sakit pening ummi selama ini hanya Khaliff yang mengambil peduli namun ummi tidak pernah menghargai. Khaliff sedaya upaya menjaga hati dan perasaan ummi.

 Entah bila ummi akan menerima Khaliff dan melupakan dendam lama yang berkubu dihatinya. Khaliff akan terus berdoa sehingga pintu hati ummi akan terbuka. Mak Munah menghampiri Maimun yang sedang ralit menyiram pokok bunga. 

“Puan, Afiff di talian…” Mak Munah menghulurkan telefon pada Maimun yang pantas mencuci tangannya dengan hati yang gembira. Ditekapnya ditelinga. 

“Hello…Waalaikumussalam. Afiff, buah hati Ummi. Ya Allah rindunya ummi pada Afiff. Ummi tengah menyiram pokok bunga ni dengan Dania. Ummi sihat…Alhamdullilah. Afiff sihat?” Dania tersenyum memerhatikan gelagat Maimun yang begitu ceria dan gembira berbual dengan Afiff di telefon. Dia hanya mendengar. 

“Bila Afiff nak balik? Iya ke? Alhamdullilah….nanti babah dan ummi akan pergi. Tak sabarnya, ummi dah rindu sangat ni pada Afiff. Afiff cepat-cepat balik, ambil alih syarikat pula. Babah asyik harapkan Khaliff je, apa-apa jadi karang tak ke susah? Ya…ya…ummi faham. Afiff nak cakap dengan Dania tak? Dia ada dengan ummi ni? Afiff cakap ya? Kenal dengan dia…” Dania terpinga-pinga mendengarnya. Aduhai, cakap dengan Afiff? Tak pernah-pernah. Hurmm, serentak itu terbayang raut wajah tampan Afiff diruang mata. Berdebar jantungnya mengingatkan Afiff. Aduhai, kenapa jadi begini ya? 

“Nia, cakap dengan abang Afiff ya? Cakaplah…” Maimun menghulurkan telefon dengan teruja. Dania teragak-agak, dalam serba salah dia mencapainya.

 “Nak cakap apa ummi?” Tanya Dania, panik. Maimun tersenyum. 

“Cakap je apa-apa.” Maklum Maimun. Dania melekapkan telefon bimbit itu ke telinganya. 

“Assalamualaikum…” Jantung Dania berdegup kencang.

“Waalaikumussalam..” aduhai, suara romantis itu bagaikan melantunkan jantung Dania keluar. Dia mengawal kegugupan diri agar tidak ketara di hadapan ummi. 

“Err, abang Afiff. Saya Dania, ermmm…abang Afiff sihat?” Itu saja yang spontan keluar dari bibirnya. 

“Sihat. Kenapa, kalau demam, Dania nak datang ke?” Merah padam muka Dania mendengarnya. Aduhai, kalau Afiff melihat reaksinya ketika ini. Malu tidak terkata. 

“Err…tak..tak.. Err, okeylah.Ummi nak cakap,” Dania terus menghulurkan semula telefon bimbit itu pada ummi. 

Tercengang-cengang Maimun. “Lah…sekejap je cakap?” Tanya Maimun dengan senyum penuh makna. 

Dania tersenyum segan. “Tak tau…ermm…nak cakap apa ummi…” balas Dania. 

Maimun terus menyambung perbualan itu. Dania menghembus nafas lega, namun perbualannya dengan Afiff terdengar-dengar di telinganya. ‘Sihat. Kenapa, kalau demam, Dania nak datang ke?’ Aduhai, degup jantungnya jadi tidak sekata. Apa yang sedang berlaku ini? Kenapa lain macam yang aku rasa? Suara romantis Afiff kedengaran lagi. Ini baru mendengar suara. Itu pun sebaris bicara. Belum lagi melihat orangnya? 

“ Hurmm, Afiff dah tamat belajar. Konvo tak lama lagi. Kalau Dania free, boleh ikut sekali. Tak lama lagi, Afiff akan balik. Dia takkan jauh dari mata ummi lagi. Rindunya ummi pada dia…..rindu sangat!” Maimun menyampai kata dengan gembira. 

Dania tersenyum melihat gelagatnya. Debaran hatinya belum lagi berhenti. Kenapa ya? 




Bersambung... 


TAJUK ‘GAY ITU SUAMI AKU?’ TELAH DITUKARKAN KEPADA TAJUK  BUKAN ISTERI SIMPANAN’ UNDER GEDEBOOK SDH.BHD.